‘Saya hanya fikir untuk selamatkan diri’

‘Saya hanya fikir untuk selamatkan diri’

ATES Demiroren yang selamat dalam kejadian kapal layar karam di perairan Pulau Yu-Pulau Redang, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: “Saya ha­nya fikir untuk selamatkan diri dan berenang ke arah pulau.”

Demikian cerita seorang daripada dua warga Turkiye, Ates Demiroren, 41, yang terselamat dalam kejadian kapal layar ka­ram selepas lebih 40 jam terapung di perairan Pulau Yu-Pulau Redang, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira pu­kul 2.30 pagi pada Selasa lalu, kapal layar Daisy yang dinaiki­nya bersama kapten, Ahmet Volkan Ata, 51, dan seorang lagi penumpang, Eser Demirkol, 51, dipukul ribut kuat sehingga menyebabkan ketiga-tiga mereka terpaksa terjun ke laut untuk menye­lamatkan diri.

“Semasa kapal layar hampir karam, saya berusaha lepaskan diri dan keluar. Ketika itu, kap­ten dan Eser berada di atas dek. Mereka melompat dan sempat memberi amaran bahawa kapal layar sedang tenggelam. Saya dengar dengan jelas dan nampak air mula masuk dari segenap arah.

“Walaupun air masuk dengan deras, saya sempat berpaut pada tangga dan keluar ke permukaan sebelum kapal tenggelam. Mereka hilang dari panda­ngan,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Menurut Ates, sepanjang hampir dua hari terapung di tengah laut, dia hanya bertahan dengan kekuatan mental dan fizikal serta berharap ada bantuan tiba.

“Saya cuba berenang ke arah pulau, tetapi arus terlalu kuat dan tidak mampu melawan. Saya cuma bertahan dan berharap akan ada yang selamatkan saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asis­ten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, Ates diselamatkan oleh nelayan tempatan kira-kira pu­kul 12 tengah hari khalis lalu manakala Ahmet pula ditemukan pada hari sama pukul 9.45 malam.

“Ates dijumpai kira-kira 10 kilometer dari Pulau Bidong manakala Ahmet pula ditemukan nelayan tempatan kira-kira tujuh batu nautika dari lokasi kejadian selepas terapung hampir 43 jam di tengah laut.

“Kedua-dua mangsa kini di­rawat di HSNZ dan berada dalam keadaan stabil walaupun keletihan dan trauma,” kata­nya.

Difahamkan, mereka adalah peserta pelayaran yang merancang mengelilingi benua dari Malaysia ke negara asal. Penjelajahan mengelilingi benua bermula kira-kira pukul 5 petang pada 28 Julai lalu yang dijadual berakhir di Pelabuhan Istanbul, Turkiye.

Sebelum itu, Daisy sepatutnya berhenti di check point pertama iaitu di Pelabuhan Pattani, Thailand namun dibadai ribut dan dipercayai karam di perairan Pulau Yu pada 2.30 pagi Selasa.

Sementara itu, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan Eser De­mirkol diteruskan dengan tumpuan diberikan kepada sektor seluas 305.41 batu nautika persegi di perairan berhampiran lokasi kejadian.

Setakat pukul 6 petang semalam, mangsa belum ditemukan.

Pengarah Maritim Negeri Te­rengganu, Kepten Maritim Ha­miludin Che Awang berkata, operasi bermula seawal 7 pagi dan melibatkan kekuatan 29 anggota serta tiga aset utama milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Difahamkan, segala urusan berkaitan mangsa akan ditanggung sepenuhnya oleh Kedutaan Turki dan proses membawa pulang hanya akan dilakukan selepas kesihatan mereka stabil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN