Rakyat Indonesia kibar bendera lanun sempena kemerdekaan

Rakyat Indonesia kibar bendera lanun sempena kemerdekaan

BENDERA lanun daripada anime Jepun, One Piece, dikibarkan di sebuah rumah di Solo, Jawa Tengah.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Menjelang sambutan 80 tahun kemerdekaan Indonesia, sebahagian rakyat negara itu menzahirkan kekecewaan terhadap kerajaan dengan mengibarkan bendera lanun daripada anime popular Jepun, One Piece.

Bendera tengkorak bertopi jerami itu dilihat dipasang di bawah bendera kebangsaan merah-putih, yang biasanya dikibarkan sepanjang bulan Ogos menjelang Hari Kemerdekaan.

Dalam anime tersebut, bendera itu digunakan oleh watak Monkey D Luffy sebagai simbol kebebasan, harapan dan penentangan terhadap autoritarianisme.

Di Indonesia, bendera tersebut dikibarkan sebagai tanda protes di tengah kekecewaan rakyat yang semakin meningkat terhadap kerajaan.

“Harga barang yang meningkat, kesukaran mendapatkan pekerjaan dan ketidakcekapan kerajaan mendorong rakyat menggunakan sindiran dan satira seperti itu,” kata pensyarah hubungan antarabangsa Universiti Airlangga, Surabaya, Radityo Dharmaputra, kepada Al Jazeera.

Pengibaran bendera itu secara meluas di rumah, kenderaan dan bot menunjukkan kekecewaan rakyat terhadap pentadbiran, walaupun kerajaan mendakwa mencapai banyak kemajuan.

Presiden Prabowo Subianto yang mengangkat sumpah pada Oktober lalu, menjanjikan pertumbuhan ekonomi yang pantas dan perubahan sosial di negara berpopulasi hampir 286 juta penduduk itu.

Namun, ekonomi terbesar dan demokrasi paling ramai penduduk di Asia Tenggara itu sedang menghadapi kemerosotan.

Indonesia mencatat kadar pengangguran belia tertinggi di Asia Tenggara, dengan 16 peratus daripada 44 juta rakyat berumur 15 hingga 24 tahun tidak bekerja.

Manakala, pelabur asing sedang menarik keluar modal daripada negara itu dan kerajaan pula berusaha mengurangkan belanjawan.

Sebelum protes bendera itu, gerakan ‘Indonesia Gelap’ menjadi perhatian pada Februari lalu, dengan rakyat menjadikan media sosial platform menzahirkan kekecewaan mereka terhadap masa depan negara ekoran pemotongan belanjawan secara meluas.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN