PM mahu FGV kembali kepada matlamat asal Felda

PM mahu FGV kembali kepada matlamat asal Felda

ANWAR Ibrahim (tengah) merasmikan Program Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) 2025 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) di Kuala Lumpur hari ini.-UTUSAN/AMIR KHALID.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) diberi amanah menentukan hala tuju baharu FGV Holdings Bhd. selepas berjaya memperoleh pegangan saham melebihi 90 peratus dalam syarikat tersebut.

Susulan perolehan pengangan itu, FGV Holdings Berhad secara rasminya akan dinyahsenarai dari Bursa Malaysia mulai 28 Ogos ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu dicapai kerana Felda kini diuruskan oleh pihak pengurusan yang baik dan cekap sekali gus membolehkan FGV dinyahsenarai dari Bursa Malaysia mulai hujung Ogos ini.

Katanya, penyahsenaraian itu bermakna Felda dan FGV kini  bertanggungjawab menentukan arah tuju mereka sendiri dan memberi jaminan kepada Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad supaya faedah dan kepentingan peneroka menjadi keutamaan.

“Sebaik hal ini diuruskan, saya bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan menetapkan dengan Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan rakan-rakan (Felda), saya hendak pastikan pengarahan yag jelas dari kerajaan iaitu pastikan FGV kembali kepada matlamat asal Felda. 

“Keutamaannya kepada peneroka, hak dan hasil mereka serta koperasi yang mereka tentukan. Jadi yang selanjutnya biar mereka uruskan untuk beberapa bulan pertama supaya hasil diperoleh Felda seperti mana diinginkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Mega 3 Dimensi 2025 (MK3D 2025), di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Kelmarin, media melaporkan Felda berjaya melepasi ambang 90 pemilikan dalam FGV berikutan tawaran pengambilalihan sukarela tanpa syaratnya, sekali gus membuka jalan untuk penyahsenaraian FGV di Bursa Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM100,000 bagi setiap kampung di bawah Felda untuk melaksanakan projek pembangunan yang ditentukan sendiri oleh penduduk setempat.

Beliau berkata, pendekatan memberikan kebebasan kepada penduduk kampung menentukan sendiri projek pilihan mereka itu selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani yang menekankan prinsip musyawarah dan pemerkasaan rakyat.

“Saya sudah sediakan peruntukan, setiap kampung Felda diberikan RM100,000 untuk mereka tentukan projek apa yang mereka nak lakukan.

“Ini bukan pengurusan (Felda) yang tentukan projek apa hendak dibuat. Hendak beli apa, traktor? Hendak buat kolam ikan? Hendak beli dron? Saudara sendiri putuskan apa yang nak beli, saya sediakan RM100,000 bagi setiap kampung,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN