KOTA BHARU: Harga pil kuda serendah RM5 sebiji menjadi antara punca utama bekas penagih dadah kembali terjerumus meskipun telah menjalani rawatan dan pemulihan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok berkata, selain harga murah, bekalan pil kuda yang mudah diperoleh di pasaran turut menjadi faktor utama peningkatan kes penagih berulang di negara ini.
Katanya, bekalan pil kuda yang mudah diperoleh memainkan peranan utama menjadikan penagih itu mengulang kembali perbuatan tidak bermoral itu.
“Penyalahgunaan dadah jenis pil kuda mencatatkan jumlah yang tinggi iaitu sebanyak 94 peratus. Data terkini sehingga 15 Ogos lalu mendapati, lebih 50,000 penagih menjalani pemulihan di bawah AADK merangkumi Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti.
“Setakat ini, sebanyak 20 peratus penagih di negara ini dikategorikan sebagai penagih berulang selepas menjalani pemulihan dan rawatan dengan AADK,” katanya dalam sidang akhbar sempena Operasi Perdana AADK di Ibu Pejabat AADK Kelantan di sini.
Khairul Anwar berkata, sebanyak 80 peratus lagi penagih yang menjalani rawatan bebas daripada pengaruh dadah dan pelbagai langkah dilakukan pihak berkuasa bagi memutuskan rantaian penyalahgunaan dadah.
Mengulas Operasi Perdana AADK di Kelantan, beliau berkata, operasi itu dijalankan selama empat hari melibatkan 15 pegawai dan 75 anggota.
Katanya, operasi tertumpu di daerah Bachok, Pasir Mas, Kuala Krai dan beberapa kawasan di Kota Bharu yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi dengan sebanyak 5,898 kes pengawasan dilaporkan.
“Seramai 157 individu didapati positif dadah dalam operasi itu termasuk 152 daripadanya menggunakan pil kuda.
“Operasi tersebut dijalankan bagi mengesan penagih dadah, memutuskan rangkaian bekalan dan memusnahkan lokasi penagihan aktif,” katanya.
Khairul Anwar berkata, pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) berkuat kuasa 22 Ogos lalu memberi kuasa lebih luas kepada AADK untuk menangani penyalahguna bahan termasuk gam dan ketum. – UTUSAN










