Pesalah politik antara 1,178 banduan diberi pengampunan

Pesalah politik antara 1,178 banduan diberi pengampunan

BEKAS Menteri Perdagangan Indonesia, Tom Lembong (tengah) melambai tangan ke arah media ketika meninggalkan Penjara Cipinang di Jakarta, kelmarin.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia mula membebaskan ratusan banduan termasuk pesalah politik selepas Parlimen meluluskan peringkat pertama pelan pengampunan besar-besaran yang digerakkan Presiden Prabowo Subianto, bertujuan memperkukuh perpaduan nasional.

Seramai 1,178 banduan dibebaskan pada Jumaat selepas Prabowo menandatangani Keputusan Presiden yang memberi pengampunan, menurut pengumuman Timbalan Speaker Dewan Perwakilan, Sufmi Dasco Ahmad dan Menteri Undang-Undang, Supratman Andi Agtas pada Khamis.

Hanya dua bulan selepas mengambil alih jawatan pada Oktober, Prabowo mengejutkan negara apabila mengumumkan rancangan untuk memberi pengampunan kepada kira-kira 44,000 banduan di seluruh negara, kebanyakannya tahanan politik, sebagai usaha menyatukan rakyat.

Supratman berkata, banduan politik, pesakit mental atau kronik, warga emas, remaja serta individu yang disabitkan kesalahan menghina agama atau pemimpin negara akan diberi keutamaan.

Antara yang dibebaskan pada Jumaat termasuk lawan politik bekas Presiden Joko Widodo, iaitu Setiausaha Agung Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP), Hasto Kristiyanto, satu-satunya parti pembangkang rasmi negara itu.

Bekas sekutu Jokowi yang kemudian menjadi pengkritik tegar itu, dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun setengah minggu lalu atas kes rasuah melibatkan pelantikan kerusi legislatif pada 2019.

Hasto dibebaskan daripada pusat tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK) di Jakarta Selatan pada petang kelmarin, selepas ditahan sejak Februari lalu.

“Kita mesti belajar daripada kejadian ini,” katanya sebaik dibebaskan dengan disambut sorakan penyokong.

Supratman berkata, Parlimen turut meluluskan penamatan prosiding jenayah terhadap bekas Menteri Perdagangan, Tom Lembong, yang pernah menjadi sekutu Jokowi sebelum beralih menyokong pencabar politiknya, Anies Baswedan, semasa Pilihan Raya Presiden 2024.

Tom dijatuhi hukuman penjara lebih empat tahun pada Julai lalu atas dakwaan menyalahguna kuasa sebagai menteri dengan meluluskan permit import gula secara tidak wajar.

Selain itu, enam aktivis kemerdekaan dari Papua Barat yang sedang menjalani hukuman penjara atas tuduhan penderhakaan turut dibebaskan.

Supratman berkata, pihak berkuasa merancang untuk mengemukakan senarai kedua melibatkan 1,668 banduan untuk dibebaskan kepada Parlimen dalam masa terdekat.- AL JAZEERA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN