Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang larang tuai, jual kerang-kerangan di PD

Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang larang tuai, jual kerang-kerangan di PD

GAMBAR fail menunjukkan penduduk Kampung Telok, Pasir Panjang, Port Dickson mencari kerang di kawasan pantai.-UTUSAN/ MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Telok Kemang semalam mengeluarkan hebahan larangan penjualan dan penuaian sumber kerang-kerangan (dwicengkerang) dari perairan Port Dickson.

PNK Telok Kemang memaklumkan, ini berikutan pihaknya mengesan fenomena yang dipercayai merupakan ledakan alga di perairan Pasir Panjang pada pukul 4.45 petang, 5 Ogos lalu.

“Jabatan Perikanan telah mengambil sampel kupang dan air laut pada pukul 7 pagi pada 6 Ogos lalu.

“Berdasarkan keputusan awal analisis mendapati terdapat kandungan Alexandrium SP di dalam sampel yang boleh memudaratkan dan mendatangkan bahaya kepada kesihatan manusia,” katanya.

Sehubungan itu, PNK Telok Kemang mahu pengeluaran dan penjualan sumber dwicangkerang ini dihentikan serta-merta memandangkan nelayan dan penternak kini sedang mengeluarkan hasil yang banyak.

PNK Telok Kemang juga khuatir dengan program berkaitan dwicangkerang (kupang) yang akan diadakan di Kampung Sungai Sekawang di sini esok (9 Ogos 2025).

“Larangan ini akan terbatal serta merta sekiranya keputusan yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan tersebut positif dan tidak membahayakan.

“PNK Telok Kemang akan memantau perkembangan isu ini dengan teliti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe memberitahu, keputusan ujian rasmi sampel kupang dan air laut yang diambil masih belum dikeluarkan.

“Sampel kami sudah hantar ke makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur (PBPKL),” katanya ketika dihubungi.

Keputusan ujian sampel tersebut nanti akan dimaklumkan menerusi oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

Sebelum ini media melaporkan pada 4 April tahun lalu, Jabatan Perikanan mengeluarkan larangan penuaian dan penjualan kerang-kerangan termasuk kupang di perairan Port Dickson.

Menurut kenyataan jabatan itu, kupang di perairan Port Dickson dicemari dan tidak selamat dimakan susulan sampel air dan kupang di perairan tersebut dicemari biotoksin serta alga spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia berbahaya.

Bagaimanapun, pada 10 Ogos 2024, Jabatan Perikanan menarik balik larangan penuaian dan penjualan kerang-kerangan termasuk kupang di Port Dickson dan Melaka berikutan penurunan tahap biotoksin ke paras selamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN