Pengurangan tarif bukti kewibawaan Malaysia

Pengurangan tarif bukti kewibawaan Malaysia

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengurangan kadar tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) daripada 25 peratus kepada 19 peratus membuktikan negara memerlukan kepimpinan yang bukan sahaja cekap mengurus hal ehwal dalam negeri malah mampu menangani isu-isu antarabangsa secara berkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurangan tarif itu merupakan hasil rundingan diplomatik yang memberi manfaat besar kepada ekonomi negara, khususnya dalam sektor eksport berteknologi tinggi.

Katanya, tarif asal sebanyak 25 peratus yang diumumkan AS sebelum ini akan memberi impak besar kepada sektor eksport Malaysia, terutama dalam bidang semikonduktor serta produk elektrik dan elektronik (E&E).

Tambahnya, ia disebabkan kedua-dua bidang itu merangkumi hampir 60 peratus daripada jumlah eksport ke negara itu dengan nilai mencecah RM200 bilion setahun.

“Ada yang tanya, apa kaitan dengan AS? Kaitan ini besar, kita hendak selamatkan puluhan ribu pekerjaan rakyat Malaysia, hendak pastikan pendapatan cukai kekal tinggi supaya hasilnya boleh dikembalikan semula kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) 2025 di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, kemampuan Kerajaan Madani menyelesaikan isu tarif ini membuktikan bahawa diplomasi ekonomi yang dijalankan berpaksikan kebijaksanaan dan kepentingan negara, bukan sekadar retorik politik.

“Hendak bercakap boleh, hendak kritik pun boleh. Tetapi kita mesti ingat, kita ada tanggungjawab untuk mengangkat martabat negara ini sebagai sebuah negara hebat. Kita ada amanah, kita kena pikul bersama,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN