PETALING JAYA: Perbicaraan kes berkait dengan kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin ditutup semalam selepas lima saksi pembelaan selesai memberi keterangan.
Prosiding yang berjalan selama enam hari bermula 21 Julai lalu itu berakhir dengan keterangan daripada saksi pembelaan kelima, Pakar Psikologi Kanak-Kanak, Dr. Noor Aishah Rosli.
Ibu kanak-kanak itu, Ismanira Abdul Manaf yang juga saksi pembelaan pertama selesai memberi keterangan pada 24 Julai lalu.
Turut dipanggil memberi keterangan bagi pihak pembelaan ialah bapa mentua Ismanira, rakan baik dan ibu saudara tertuduh.
“Kami sudah tiada saksi lain dan kami tutup kes,” ujar peguam bela utama, Haresh Mahadevan.
Selain Haresh, wanita itu turut diwakili pegum-peguam bela, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh Mahadevan manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.
Hakim Mahkamah Sesyen, Dr. Syahliza Warnoh kemudian mengarahkan pihak-pihak untuk memfailkan hujahan bertulis pada 8 September ini manakala 22 September ditetapkan untuk hujahan secara lisan.
Keputusan di akhir kes pembelaan ditetapkan pada 31 Oktober ini.
Pada 21 Julai lalu, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Ismanira untuk membela diri manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari dilepaskan dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.
Pasangan itu sebelum ini bersama-sama didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari dan 6 Disember 2023, pukul 9.55 malam di sekitar kawasan blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.-UTUSAN.










