PBAPP fokus tambah baik infrastruktur air Pulau Pinang

PBAPP fokus tambah baik infrastruktur air Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pelarasan tarif air baharu bermula 1 Julai 2026, akan membantu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengukuhkan kewangannya bagi melaksanakan projek-projek penting bagi menyelesaikan isu bekalan air di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, pelarasan sebanyak 20 sen itu akan turut memberi hasil tambahan kira-kira RM20 juta kepada syarikat dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaannya.

“Hasil tambahan itu boleh digunakan untuk menyelesaikan isu bekalan air di Pulau Pinang menerusi komitmen projek bekalan air jangka panjang,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kadar tarif air bagi pengguna domestik di hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia serta Wilayah Persekutuan Labuan akan dinaikkan bermula 1 Ogos ini, susulan pewartaan struktur baharu tarif air yang diumumkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Bagaimanapun, kerajaan negeri Pulau Pinang menangguhkan pelaksanaan tarif baharu itu sehingga 1 Julai tahun depan.

Pathmanathan berkata, antara projek bekalan air jangka panjang yang dapat dilaksanakan termasuk pembinaan loji rawatan air, menaik taraf saluran paip utama serta penggantian aset kritikal.

Beliau berkata, projek utama yang akan dibiayai melalui hasil pelarasan ini pula termasuk pembinaan Loji Rawatan Air Taman Mengkuang di Seberang Perai Tengah bernilai RM250 juta, bagi menambah 114 juta liter air terawat sehari.

”Selain itu, projek pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Kerian Baharu di Seberang Perai Selatan bernilai RM402 juta dan berupaya menyalurkan 114 juta liter air sehari  juga dijangka memberi manfaat hasil pelarasan ini,” katanya.

Beliau berkata, pelarasan tarif melibatkan semua kategori pengguna termasuk domestik, bukan domestik, perkapalan dan pusat data, sementara kadar untuk rumah ibadat kekal. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×