Pakistan salahkan India punca banjir semakin teruk

Pakistan salahkan India punca banjir semakin teruk

SEORANG lelaki berjalan di atas rumah ditenggelami air, akibat banjir dari Sungai Ravi yang melimpah di Shahdara, Lahore, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Pakistan me­nyalahkan India menjadi punca banjir di negara itu semakin buruk ekoran penangguhan perjanjian perkongsian sungai oleh New Delhi dan runtuhan pintu empangan, baru-baru ini.

Hujan monsun lebat melanda India dan Pakistan, dengan ramalan cuaca buruk berterusan hujung minggu ini.

Di timur Pakistan, banjir melanda pinggir bandar Lahore dan mengancam menenggelamkan bandar utama Jhang, dalam bencana terburuk hampir 40 tahun di kawasan itu.

Kedua-dua negara berseteru itu berkongsi sungai yang berasal dari India dan mengalir ke Pakistan, dikawal selama lebih enam dekad di bawah Perjanjian Air Indus.

Perjanjian itu ditangguhkan oleh India tahun ini, susulan insiden tembakan yang menurut New Delhi disokong oleh Islamabad, namun dinafikan Pakistan.

Menteri Perancangan Pakistan, Ahsan Iqbal memberitahu Reuters, data mengenai aliran air yang sebelum ini dikongsi oleh India di bawah perjanjian itu tidak disampaikan kepada Pakistan secara menyeluruh atau terperinci.

“Jika Perjanjian Air Indus masih berkuat kuasa, kami boleh mengurangkan kesan banjir ini,” katanya.

Menerusi video disiarkan media India pada Khamis lalu, bahagian tengah empangan Madhopur, yang merentasi Sungai Ravi di negara itu, dihanyutkan oleh air deras.

Pegawai Pakistan berkata, kerosakan itu menyebabkan aliran air yang tidak terkawal merentasi sempadan, mengakibatkan beberapa kawasan di Lahore dilanda banjir kelmarin.

Sumber kerajaan India menafikan terdapat percubaan yang disengajakan untuk menyebabkan banjir buruk di Pakistan, termasuk mengesahkan dua pintu empangan Madhopur rosak.

Menurut pegawai Pakistan, India menghantar empat amaran banjir kepada Islamabad sejak 24 Ogos, termasuk yang terbaharu pada Jumaat.

New Delhi mengakui menghantar amaran tersebut atas dasar kemanusiaan, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN