Muhammad kekal nama popular di UK

Muhammad kekal nama popular di UK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Nama Muhammad sekali lagi menduduki tangga teratas sebagai nama bayi lelaki paling popular di England dan Wales bagi tahun kedua berturut-turut.

Menurut Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS), kira-kira 5,721 bayi lelaki didaftarkan dengan ejaan ‘Muhammad’ pada 2024, mencatatkan peningkatan 23 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Nama Noah kekal di tempat kedua, manakala Oliver mengekalkan kedudukan ketiga, sama seperti rekod pada 2023.

Hanya empat bayi dinamakan Keir pada 2023, namun tiada satu nama tersebut didaftarkan tahun lalu selepas Keir Starmer dilantik sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu, Olivia dan Amelia turut mengekalkan kedudukan sebagai nama bayi perempuan paling popular di England dan Wales untuk tahun ketiga berturut-turut, menurut data terbaharu pejabat itu.

Namun, nama Isla yang sebelum ini berada dalam kelompok tiga teratas digantikan oleh Lily.

Nama Olivia kekal dalam kedudukan tiga teratas sejak tahun 2006, dengan 2,761 bayi dinamakan demikian tahun lalu.

Setiap tahun, ONS menjalankan analisis menyeluruh terhadap maklumat pendaftaran nama bayi, bagi mengenal pasti trend terkini dalam pilihan nama ibu bapa di United Kingdom (UK).

Nama yang dikaitkan dengan keluarga diraja Britain terus menyaksikan penurunan populariti dalam senarai tersebut.

George menduduki tempat keenam dengan 3,257 bayi diberi nama demikian, dan William berada di kedudukan ke-27.

Nama Louis pula berada di tempat ke-47 dan bagi bayi perempuan, Charlotte, berada di tangga ke-23.

Analisis sebelum ini menunjukkan pilihan nama bayi di UK kini lebih pelbagai dari segi budaya dan bahasa berbanding dahulu.

Sekitar tahun 2000-an, nama popular kebanyakannya berasal daripada bahasa Inggeris, Ibrani dan Latin.

Namun, selepas dua dekad, nama daripada bahasa Itali, Arab, Norse dan gabungan budaya seperti Scotland-Sepanyol semakin popular, mencerminkan perubahan demografi dan keterbukaan dalam masyarakat Britain.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN