SHAH ALAM: Malaysia perlu melahirkan lebih ramai pakar yang boleh mengesan Organisma yang Diubahsuai Secara Genetik (GMO) dan Organisma Hidup yang Diubahsuai (LMO) bagi memastikan keseimbangan kualiti hasil sayur-sayuran dan buah-buahan serta kesan ekosistemnya kepada haiwan serta manusia.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, pelepasan dua organisme itu tanpa kawalan boleh mengganggu ekosistem manusia, haiwan dan tumbuhan
“Meskipun GMO dan LMO dibenarkan bagi meningkatkan hasil serta mutu sayuran dan buah, namun tiada kawalan ketat dalam pengunaannya yang dikhuatiri memberikan kesan negatif pada jangka masa panjang.
“Oleh sebab itu, Malaysia perlu bekerjasama dengan negara ASEAN (Asia Tenggara) lain untuk meningkatkan jumlah individu yang pakar dalam bidang itu bagi menangani masalah tersebut,” katanya ketika berucap pada Simposium Biokeselamatan 2025, hari ini.
Jelasnya, ketika ini, hanya sebilangan kecil saintis dan pegawai teknikal daripada Jabatan Biokeselamatan (JBK) yang mampu menganalisis kewujudan GMO dan LMO dalam produk sayuran dan buah.
Tiong Sii berkata, kelewatan membuat pemeriksaan ke atas produk yang mengandungi dua organisme ini di Malaysia boleh memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan di negara ini.
“Sehubungan itu, pada hari ini JBK akan memulakan kerjasama dengan Agensi Kawalan & Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi memperkukuhkan penguatkuasaan biokeselamatan di pintu sempadan masuk dan keluar Malaysia.
“Pada saat ini, bahagian pemeriksaan dan penguatkuasaan perlu mengikuti perkembangan dunia biokeselamatan memandangkan bidang ini semakin pesat di peringkat global,” jelasnya.
Simposium hari ini turut menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama di antara JBK yang diwakili Ketua Pengarahnya, Lomie Enggong dengan AKPS yang diwakili Timbalan Ketua Pengarahnya, Ismail Mokhtar. – UTUSAN










