Bantuan diesel beri impak positif sektor agromakanan

Bantuan diesel beri impak positif sektor agromakanan

USAHA kerajaan mempertingkat insentif pesawah dan bantuan diesel memberi impak positif kepada produktiviti sektor agromakanan serta memperkukuh keterjaminan makanan negara dalam jangka masa pendek dan panjang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan mempertingkat insentif pesawah dan bantuan diesel memberi impak positif kepada produktiviti sektor agromakanan serta memperkukuh keterjaminan makanan negara dalam jangka masa pendek dan panjang.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, penambahbaikan itu amat signifikan dalam mendepani cabaran krisis tenaga global yang memberi tekanan besar kepada kos pengeluaran makanan dan rantaian bekalan negara.

“Kementerian mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan atas keprihatinan dan tindakan proaktif dalam menambah baik bantuan kepada golongan pesawah, petani, pekebun kecil serta pengguna diesel yang layak.

“Peningkatan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) daripada RM160 kepada RM300 sehektar bagi musim penanaman 2026 adalah satu langkah yang amat dihargai, khususnya dalam membantu hampir 200,000 pesawah mengurangkan beban kos operasi.

“Selain itu, kesinambungan insentif penuaian turut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong sektor padi dan beras negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, kerajaan bersetuju menaikkan kadar IPKP buat kali kedua bagi musim penanaman tahun ini kepada RM300 sehektar semusim berbanding RM160 pada tahun lalu dan RM100 sebelumnya.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, langkah itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 200,000 pesawah dengan tambahan peruntukan sekitar RM40 juta.

KPKM berkata, inisiatif BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu dijangka memberi manfaat besar kepada lebih 200,000 petani dan pekebun kecil serta kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung.

“Bantuan ini akan membantu meringankan beban kos bahan api yang meningkat dan memastikan kelangsungan aktiviti pertanian serta pengeluaran makanan negara.

“Selain itu, langkah kerajaan untuk melonggarkan syarat pembelian diesel bagi kegunaan jentera pertanian adalah satu pendekatan pragmatik yang akan memudahkan pengusaha sektor agromakanan menjalankan operasi mereka dengan lebih efisien tanpa kekangan birokrasi yang tidak perlu,” katanya.

KPKM akan terus bekerjasama dengan semua kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan inisiatif berjalan lancar dan mencapai matlamat yang disasarkan.

“KPKM komited untuk menyokong agenda kerajaan dalam memperkukuh sektor pertanian negara demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN