MUMBAI: Larangan mahkamah terhadap pemberian makanan kepada burung merpati di tempat awam di Mumbai, mencetuskan pertikaian hangat antara pihak berkuasa tempatan, aktivis kesihatan awam dan pencinta burung.
Sepanjang bulan ini, ratusan penduduk dilaporkan bertempur dengan polis ketika membantah penutupan tempat makan merpati yang berusia beberap dekad, dikenali sebagai kabutarkhana.
Sebahagian mereka merobek penutup terpal di lokasi itu serta mengugut mengadakan mogok lapar tanpa had, manakala kira-kira 15 orang ditahan dalam satu lagi protes.
Pihak berkuasa menjelaskan, larangan itu dikenakan berikutan kebimbangan mengenai bahaya kesihatan akibat najis merpati.
Langkah itu bukan hanya diambil di Mumbai, bahkan Venice sudah lama mengharamkan pemberian makanan kepada merpati di dataran bersenjarah.
Selain itu, Singapura juga mengenakan denda yang tinggi, manakala New York dan London mengawal aktiviti tersebut melalui zon khas.
Larangan itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan pencinta haiwan dan kumpulan agama yang menjadikan pemberian makanan kepada merpati sebagai amalan tradisi, memandangkan burung tersebut sinonim dalam budaya India.
Sebahagian kabutarkhana di Mumbai merupakan struktur warisan ikonik, asalnya diwujudkan sebagai ruang amal bagi komuniti mendermakan bijirin.
Namun, larangan terbaharu mencetuskan bantahan, khususnya daripada masyarakat Jain yang menganggap memberi makan merpati sebagai kewajiban suci.- BBC










