Kumpulan pertama kanak-kanak Gaza akan dipindah ke UK untuk rawatan

Kumpulan pertama kanak-kanak Gaza akan dipindah ke UK untuk rawatan

MOHAMMED al-Mutawaq, bayi lelaki berusia 18 bulan terbaring lemah akibat kekurangan nutrisi susulan kebuluran di Gaza selepas rejim Israel menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Seramai 30 hingga 50 kanak-kanak Palestin yang sakit tenat dan cedera akan dipindahkan dari Gaza ke United Kingdom (UK) untuk mendapatkan rawatan perubatan dalam tempoh beberapa minggu akan datang, lapor BBC.

Mereka akan menjadi kumpulan kanak-kanak pertama dibawa ke UK untuk rawatan menerusi operasi khas kerajaan yang dikendalikan Pejabat Luar Negeri, Pejabat Dalam Negeri dan Jabatan Kesihatan negara itu.

Menurut sumber, pemilihan kanak-kanak tersebut dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan mereka akan ditemani ahli keluarga ketika perjalanan melalui negara ketiga, di mana data biometrik dikumpulkan.

Langkah itu diambil susulan desakan beberapa Ahli Parlimen UK yang menulis surat kepada kerajaan, menggesa agar kanak-kanak Palestin yang sakit dan cedera dari Gaza dibawa masuk ke negara itu tanpa sebarang penangguhan.

Dalam sepucuk surat minggu lalu, sekumpulan 95 ahli Parlimen pelbagai parti memberi amaran kanak-kanak Palestin berisiko menghadapi kematian segera berikutan sistem kesihatan di Gaza yang hampir lumpuh, dan menegaskan sebarang sekatan untuk pemindahan perlu segera ditarik balik.

Beberapa kanak-kanak dari Gaza sebelum ini dibawa secara persendirian ke UK untuk rawatan perubatan melalui inisiatif pertubuhan Project Pure Hope (PPH), namun kerajaan UK masih belum memindahkan mereka menerusi skim rasmi sepanjang konflik.

Awal Ogos lalu, kerajaan mengesahkan rancangan membawa lebih ramai kanak-kanak Palestin ke UK untuk rawatan perubatan sedang dipercepatkan.

Bagaimanapun, masih belum jelas negara ketiga mana yang akan menjadi laluan transit, jumlah kanak-kanak yang terlibat atau ada kumpulan lain akan menyusul selepas ini.

Memandangkan cabaran untuk menghantar semula kanak-kanak ke Gaza selepas rawatan, difahamkan sebahagian mereka mungkin memasuki sistem suaka di UK.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN