Korea Utara bina pangkalan peluru berpandu rahsia berhampiran China

Korea Utara bina pangkalan peluru berpandu rahsia berhampiran China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Korea Utara didakwa membina dan mengendalikan sebuah pangkalan peluru berpandu jarak jauh yang besar berhampiran sempadan China, menurut laporan badan pemikir antarabangsa.

Laporan Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) mendakwa, pangkalan itu menempatkan senjata strategik paling canggih milik pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un.

Langkah itu mencerminkan usaha berterusan rejim tersebut memperkukuh keupayaan serangan nuklearnya.

Pangkalan tersebut terletak di Sinpung, wilayah Pyongan Utara, kira-kira 27 kilometer dari sempadan China.

Ia dipercayai menempatkan unit bersaiz briged dengan enam hingga sembilan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) berkeupayaan nuklear bersama pelancar mudah alih.

“Peluru berpandu itu menimbulkan ancaman nuklear berpotensi kepada Asia Timur dan tanah besar Amerika Syarikat (AS).

“Penilaian semasa menunjukkan pada waktu krisis atau peperangan, pelancar dan peluru berpandu akan keluar dari pangkalan, bertemu dengan unit khas penyimpanan serta pengangkut kepala peledak, dan melaksanakan operasi pelancaran dari lokasi yang dikenal pasti lebih awal,” kata laporan itu.

Pembinaan pangkalan tersebut bermula sekitar 2004 dan kebanyakan kemudahan siap dibina serta beroperasi menjelang 2014, kata laporan yang turut mendakwa kompleks tersebut kelihatan terus dibangunkan sejak itu.

Kementerian Pertahanan Korea Selatan bagaimanapun tidak segera memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen Bloomberg News mengenai laporan berkenaan.

Pangkalan peluru berpandu yang baharu didedahkan itu menyerlahkan ancaman nuklear rejim yang semakin meningkat serta niat strategiknya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN