Ketua tentera Israel mahu letak jawatan jika rundingan Hamas gagal

Ketua tentera Israel mahu letak jawatan jika rundingan Hamas gagal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Ketua Turus Tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir, sedang mempertimbangkan untuk meletak jawatan sekiranya rundingan dengan Hamas gagal disambung semula.

Menurut laporan akhbar Yedioth Ahronoth, Zamir kini dalam dilema selepas hubungannya dengan kepemimpinan politik Israel dikatakan bergolak, dan peletakan jawatan mungkin pilihan terakhir jika kebuntuan berlarutan.

Sumber yang dipetik dalam laporan itu mendakwa, ketegangan yang tercetus bukan lagi sekadar pergeseran biasa antara institusi ketenteraan dan politik, sebaliknya beberapa menteri Kabinet didakwa mengeluarkan kenyataan menghina pasukan tentera semasa mesyuarat.

Saluran televisyen Israel, Channel 12, melaporkan Zamir sudah ‘muak’ dengan perpecahan antara pihak politik dan ketenteraan, serta mendesak kerajaan supaya segera membuat keputusan jelas mengenai hala tuju perang di Gaza.

Menurut laporan itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu masih mengelak daripada menyatakan pendirian tegas berkaitan dasar negara, sekali gus meletakkan seluruh beban konflik Gaza di atas bahu pasukan tentera.

Pertikaian utama tertumpu kepada isu nasib tebusan Israel yang masih ditahan di Gaza serta tindakan ketenteraan berterusan tanpa sebarang pelan politik yang jelas sebagai penamat kepada krisis yang berlarutan.

Sejak 7 Oktober 2023, Israel terus menolak gesaan antarabangsa untuk menghentikan serangan dan meneruskan operasi ketenteraan besar-besaran ke atas Gaza yang disifatkan masyarakat dunia sebagai paling dahsyat dalam sejarah moden.

Setakat ini, lebih 60,000 penduduk Palestin sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak telah terbunuh, manakala Genting Gaza hampir musnah sepenuhnya akibat pengeboman berterusan yang turut menyebabkan krisis kekurangan makanan dan bantuan kemanusiaan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×