KOTA KINABALU: Pasukan peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir meminta Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung prosiding pendakwaan lima remaja yang dikaitkan dengan kes buli di Mahkamah Kanak-Kanak di sini, hari ini.
Peguam Hamid Ismail berkata, langkah itu perlu memandangkan mahkamah telah mengeluarkan perintah larangan penyebaran maklumat (gag order) yang menghalang mana-mana pihak daripada mendedahkan butiran prosiding kepada umum.
Katanya, pihaknya sendiri terikat dengan larangan berkenaan dan tidak boleh berkongsi perkembangan kes bagi mengelakkan tindakan menghina mahkamah (contempt of court).
“Larangan ini bukan bermaksud mahu menyembunyikan sesuatu atau melindungi mana-mana individu, termasuk orang kenamaan (VIP), tetapi kerana ia termaktub di bawah undang-undang.
“Banyak perkara yang tidak boleh didedahkan mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-kanak, termasuk butiran siasatan dan perjalanan prosiding di mahkamah.
“Jadi, kami berharap AGC dapat memberikan penjelasan rasmi kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan mahkamah.
Pada masa sama, Hamid turut memohon maaf kepada pengamal media kerana tidak dapat mendedahkan maklumat lanjut mengenai prosiding hari ini.
“Kami tidak boleh bercakap mengenai apa yang berlaku dalam mahkamah kerana ada perintah larangan. Untuk hal-hal lain, boleh dijawab, tetapi khusus berkaitan prosiding hari ini memang tidak dibenarkan,” katanya.- UTUSAN










