SEREMBAN: Kerajaan Persekutuan memberi jaminan bayaran pampasan premium tanah kepada kerajaan Negeri Sembilan yang tertunggak sejak lebih sedekad lalu yang melibatkan Kem Syed Sirajuddin, Gemas di Tampin akan diselesaikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, perkara itu telah dimuktamadkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam.
Katanya, ia sekali gus membuktikan komitmen kerajaan Madani untuk menamatkan pertikaian berpanjangan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sembilan.
“Puluhan tahun masalah ini berlarutan, tetapi kerajaan Madani putuskan ia mesti diselesaikan. Yang patut dibayar, akan dibayar.
“Kalau ada jumlah yang boleh ditolak, akan dipotong sedikit,” katanya ketika berucap pada Program Madani Rakyat 2025 Peringkat Negeri Sembilan di Dataran Nilai di sini hari ini.
Isu pampasan berkenaan mula berbangkit sejak tahun 2013, melibatkan tiga lot tanah – Parcel H, Parcel J dan Parcel L – dengan nilai premium asal sebanyak RM2.162 bilion.
Bagaimanapun, Parcel J yang telah diwartakan sebagai kawasan Military Firing Ground sejak 1941, dikecualikan daripada sebarang bayaran.
Susulan itu, jumlah pampasan yang perlu dijelaskan oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Negeri Sembilan dikurangkan kepada RM1.272 bilion.
Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata, kerajaan negeri telah mengadakan pelbagai rundingan dengan agensi dan kementerian berkaitan dan kekal komited dalam menuntut bayaran premium berkenaan.
“Kerajaan negeri sentiasa komited untuk mendapatkan bayaran premium tanah tersebut dan sentiasa melaksanakan tuntutan kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.-UTUSAN.










