KUALA LUMPUR: Syarikat insurans tidak akan membatalkan polisi penyakit kritikal sewenang-wenangnya atau hanya berdasarkan keputusan sebelah pihak, sebaliknya tindakan itu berlaku atas sebab tertentu seperti kegagalan membayar caruman atau wujud unsur penipuan.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, pemegang polisi yang tidak berpuas hati dengan keputusan syarikat insurans turut mempunyai beberapa saluran untuk mendapatkan pembelaan, termasuk mengemukakan aduan kepada syarikat insurans atau pengendali takaful terlebih dahulu.
Katanya, jika isu berkenaan gagal diselesaikan, pengadu boleh mengemukakan aduan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum membawa kes tersebut ke Ombudsman Perkhidmatan Kewangan sebagai saluran penyelesaian.
“Saya juga memang ada mendengar banyak aduan mengenai perkara ini. Jika terdapat kes yang spesifik dan gagal diselesaikan melalui ketiga-tiga saluran tersebut, bawalah terus kepada saya dan Kementerian Kewangan untuk tindakan lanjut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Tan Kok Wai (DAP-Cheras) yang meminta penjelasan adakah kerajaan bercadang untuk mewajibkan syarikat insurans mendapatkan kelulusan Bank Negara sebelum sesuatu polisi penyakit kritikal boleh dibatalkan.
Dalam pada itu, Ching Tong turut berharap agar pelaksanaan Pelan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) yang dilaksanakan pada awal tahun depan dapat menyelesaikan beberapa masalah termasuk kos di peringkat hospital tidak dikawal.
“Pelan MHIT asas ini akan dilancarkan dan ia adalah intervensi daripada kerajaan melalui Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan, kerana isu inflasi medikal dari sisi insurans bukan sahaja masalah pihak insurans tetapi juga masalah di mana kos di peringkat hospital tidak dikawal.
“Maka pelan MHIT asas yang akan dilancarkan pada tahun depan ialah untuk menyelesaikan masalah ini secara jangka panjang supaya ciri-ciri termasuk bayaran bersama yang melibatkan pencarum serta bayaran berasas diagnosis related group,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) tentang sama ada kerajaan sedar terdapat beberapa doktor yang didakwa telah disenaraihitamkan kerana tidak berpihak kepada insurans dalam isu jumlah tuntutan. – UTUSAN










