PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara ke-17, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berikrar untuk menjaga dan melindungi institusi kehakiman negara dengan sepenuh jiwa dan raganya.
Ujar anak kelahiran Kuala Terengganu itu, beliau tidak boleh mengubah sejarah pernah terlibat dengan parti politik mahupun menjadi sebahagian daripada kerajaan tambahan pula, ia telah menjadi sebahagian daripada birinya.
“Saya telah melalui kerjaya yang panjang dan pelbagai. Saya telah berkhidmat di ketiga-tiga cabang kerajaan. Saya tidak boleh menghapus sejarah saya, sama ada politik atau sebaliknya dan saya juga tidak mahu menghapusnya. Itulah siapa saya.
“Tetapi apabila saya memikul amanah yang paling berat ini dan selagi saya menduduki kerusi (Ketua Hakim Negara) ini, saya memberi jaminan tanpa syarat, atas nama Pencipta saya, Bismillahirrahmanirrahim bahawa saya akan melindungi dengan gigih dan menjaga tanpa henti kemerdekaan cabang kerajaan kita dengan sepenuh jiwa dan raga saya,” katanya.
Wan Ahmad Farid berkata demikian pada Majlis Meraikan Pelantikan Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman di sini semalam.
Sebelum menyertai badan kehakiman, Wan Ahmad Farid pernah menjadi peguam dan mempunyai firma guamannya sendiri, beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2003 hingga 2008 sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2008 hingga 2009.
Selain itu, Wan Ahmad Farid turut `mengingatkan’ bahawa menjadi seorang hakim bukanlah satu perkara mudah sebaliknya satu tanggungjawab yang besar.
“Kepimpinan adalah tentang taklif, yang mencerminkan amanah yang berat dan tanggungjawab yang serius. Ia bukan tentang tashrif atau keistimewaan.
“Walaupun memang satu penghormatan untuk berkhidmat sebagai hakim (tetapi) janganlah kita lupa, walau seketika pun akan tanggungjawab yang amat besar dan akauntabiliti yang datang bersamanya. Ini adalah amanah yang mesti kita pegang teguh dalam melaksanakan tugas kehakiman kita.
“Sebagai seorang hakim, adalah mustahil untuk memuaskan hati semua orang. Dalam setiap keputusan yang kita buat, sekurang-kurangnya satu pihak (dan kadangkala kedua-dua pihak) tidak akan berpuas hati dengan keputusan kita. Itu adalah perkara yang dijangka.
“Apa pun keputusan kita, jangan kita lupa, kita mesti memastikan pihak yang kalah keluar dari mahkamah kita dengan perasaan puas hati bahawa dia diberi hak untuk didengar, membentangkan bukti, dan diberikan haknya. Jangan menutup pintu mereka,” ujar beliau.
Wan Ahmad Farid mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 di Istana Negara pada 28 Julai lalu menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada 2 Julai lalu.
Wan Ahmad Farid dalam ucapannya turut menyatakan, beliau telah menyusun beberapa inisiatif bagi meningkatkan kecekapan badan kehakiman dan mengurangkan kes-kes tertunggak.
Antara inisiatif itu ialah melantik lebih ramai Pesuruhjaya Kehakiman dan menambah bilangan mahkamah di lokasi tertentu.
Tambahnya, kes-kes lama akan dipercepatkan melalui penghantaran hakim-hakim dan pesuruhjaya kehakiman ke pelbagai mahkamah di seluruh negara untuk mendengar kes-kes yang sudah tertangguh lama sekaligus membolehkan hakim sedia ada menumpukan perhatian lebih baik kepada kes sedia ada.
Wan Ahmad Farid turut memberitahu, badan kehakiman akan memperluaskan penggunaan mahkamah bergerak ke Semenanjung Malaysia. Mahkamah bergerak sebelum ini banyak digunakan di Sabah dan Sarawak.
“Unit bergerak ini, diketuai oleh seorang majistret dan dilengkapi sebagai mahkamah, membantu mengendalikan pendaftaran kelahiran, kesalahan kecil dan perkara undang-undang penting lain di lapangan,” ujarnya.
“Selain itu, terdapat juga keperluan untuk menubuhkan lebih banyak bahagian dan sub-bahagian khusus Mahkamah Tinggi terutamanya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur,” katanya. – UTUSAN










