SEREMBAN: Keanggotaan Israel dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu digantung atau dibuang segera susulan tidak menghormati gencatan senjata ke atas Gaza, bahkan bersikap lebih kejam.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan Israel itu merupakan amat biadab serta dilihat tidak mengendahkan apa juga pandangan serta desakan masyarakat antarabangsa.
“Sudah sampai masanya Israel digantung keahliannya daripada PBB dan semua negara mengenakan sekatan terhadap Israel. Ini telah saya bawa dalam Perhimpunan Agung perbahasan mewakili Malaysia pada tahun lepas.
“Saya akan mengulangi hasrat dan juga seruan ini supaya Israel digantung atau pun dibuang daripada menjadi masyarakat antarabangsa. Sekatan senjata yang digunakan untuk membunuh rakyat Palestin itu juga perlu dikenakan terhadap Israel,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan serta sumbangan kepada lebih 200 orang penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, di Dewan Orang Ramai Rantau, di sini, hari ini.
Mohamad berkata, Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Isnin lalu di Jeddah, Arab Saudi juga sebulat suara menolak serta mengecam tindakan rejim Israel untuk menguasai Gaza.
“Saya telah menghadirinya. Selalunya OIC jarang dapat sebulat suara kerana berbeza-beza pandangan. Kalau Iran bawakan ada yang bantah tetapi pada kali ini negara-negara OIC sebulat suara dapat mengeluarkan dokumen hasil berkenaan dengan penolakan dan kecaman tentang hasrat rejim Israel untuk mereka menguasai Gaza.
“Itu satu kebiadaban antarabangsa yang teramat sangat kerana bukan saja mereka tidak menghentikan kekejaman, tidak menghentikan pembunuhan yang tidak berperikemanusiaan, malah menggunakan makanan sebagai senjata perang.
“(Israel) menghentikan bekalan makanan sudah dekat lima bulan dan dibawa bekalan makanan, mereka uruskan Ibu-ibu dan anak-anak yang kelaparan datang untuk mendapatkan bekalan, mereka ditembak di situ. Hampir 2,000 orang yang ditembak di tempat pengambilan bahan makanan. Ini satu perkara yang paling biadab, yang tidak berperikemanusiaan yang dilakukan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, masyarakat antarabangsa perlu bersama-sama sepemikiran untuk menghalang hasrat Israel untuk menguasai Gaza.
“Itu perkara yang perlu masyarakat antarabangsa bersama-sama untuk kita menidakkan hasrat ini. Daripada segi penghantaran makanan, mereka (Israel) menghalang, walaupun kata buka sempadan tapi satu hari dia bagi dua, tiga, lori, paling banyak pun 10 trak untuk memberi bekalan makanan,” katanya.-UTUSAN.










