KUALA LUMPUR: Shopee Malaysia melancarkan Kempen Jom Beli Selamat bagi memperkukuh kesedaran terhadap penipuan (scam) serta mempromosikan pengalaman membeli-belah dalam talian yang lebih selamat.
Usaha itu dilakukan dengan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif itu merupakan strategi Shopee dalam menggerakkan agenda meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai amalan membeli-belah secara selamat dalam talian.
Menurutnya, kempen tersebut memberi penekanan kepada usaha memperkasa pendidikan pengguna melalui penyebaran maklumat berkaitan langkah mengenal pasti taktik penipuan, amalan terbaik urus niaga dalam talian, saluran membuat aduan serta penggunaan platform yang selamat dan dipercayai.
“Pendekatan ini bertujuan membudayakan amalan pembelian dalam talian yang lebih selamat di samping mengurangkan risiko pengguna menjadi mangsa penipuan.
“Pada masa yang sama, KPDN menggalakkan penyedia platform e-dagang memperkukuh perlindungan pengguna, meningkatkan pematuhan peraturan sedia ada serta memperluas kerjasama dengan agensi penguatkuasaan bagi membanteras penipuan dan salah laku digital.
“Inisiatif ini juga penting untuk memperkasa keyakinan pengguna terhadap ekosistem e-dagang negara.
“Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI bagi memperkasa ekonomi domestik, meningkatkan daya saing PMKS serta memastikan manfaat ekonomi digital dapat dinikmati secara inklusif oleh seluruh rakyat,” katanya pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Penjual Shopee 2026 dan Kempen Jom Beli Selamat di sini.
Beliau berkata, ekonomi digital Malaysia mempunyai potensi yang amat besar, namun untuk merealisasikan potensi ini, pertumbuhan, inovasi dan kepercayaan perlu bergerak seiring.
“Seiring dengan peningkatan penyertaan rakyat Malaysia dalam perdagangan digital, pengguna perlu diperkasa dengan pengetahuan dan maklumat yang membolehkan mereka membuat keputusan yang bijak serta berurus niaga secara selamat dalam talian.
“Kerajaan mengalu-alukan kerjasama seperti Jom Beli Selamat yang menghimpunkan kerajaan, pemain industri dan agensi penguatkuasaan bagi memperkukuh kesedaran pengguna, menggalakkan penyertaan digital yang bertanggungjawab serta meningkatkan keyakinan terhadap ekosistem digital Malaysia,” katanya.
Menurut laporan terkini Ipsos Malaysia E-Commerce Landscape 2025, jumlah pembeli dalam talian di Malaysia meningkat sebanyak 16 peratus pada 2025, dengan hampir dua pertiga rakyat Malaysia kini membeli-belah secara dalam talian.
Pada masa sama, aktiviti ICT dan e-dagang menyumbang 23.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2024, sekali gus mencerminkan kepentingan mewujudkan ekosistem perdagangan digital yang diyakini dan berdaya tahan.
Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Awam dan Luaran Shopee Malaysia, Nik Emir Nik Mohamed Din berkata, Sidang Kemuncak Penjual Shopee 2026 dengan slogan “Klik Tanpa Risau” bertujuan mempersiapkan para peniaga untuk menghadapi masa depan, manakala Kempen Jom Beli Selamat bertujuan melindungi masa depan tersebut.
“Ketika ekonomi digital Malaysia terus berkembang, para usahawan perlu dilengkapi dengan alat, pengetahuan dan peluang untuk berjaya, sementara pengguna dan perniagaan pula perlu dapat mengambil bahagian dalam ekosistem yang selamat dan dipercayai.
“Bersama KPDN dan PDRM, kami berharap Kempen Jom Beli Selamat ini dapat memperkasa rakyat Malaysia dengan pengetahuan dan amalan yang diperlukan untuk membeli-belah dalam talian dengan lebih selamat,” katanya.
Turut hadir sama, Timbalan Pengarah, Perancangan Strategik PDRM, SAC Mohamed Lazim Ismail.
Sebagai sebahagian daripada kempen itu, Shopee dan PDRM bersama-sama membangunkan sebuah laman mikro pendidikan yang menyediakan panduan praktikal mengenai taktik penipuan lazim, amalan membeli-belah dalam talian yang selamat serta langkah-langkah pencegahan penipuan. – UTUSAN










