KUALA LUMPUR: Naratif bahawa konflik di Laut China Selatan tidak dapat dielakkan ditolak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan bahawa dialog, saling mempercayai dan mematuhi undang-undang antarabangsa merupakan jalan terbaik bagi memelihara keamanan dan kestabilan serantau.
Katanya, Malaysia sentiasa mengekalkan hubungan yang membina dengan China walaupun terdapat pertikaian maritim di kawasan itu.
“Saya secara peribadi tidak berkongsi fobia ini tentang potensi ancaman kepada Laut China Selatan. Ada isu, tetapi setakat ini, kedudukan dan pengalaman Malaysia, saya harus katakan, terdapat perbincangan bermakna dengan China.
“Saya telah bercakap tentang perkara itu dengan Presiden Xi Jinping, dengan Perdana Menteri Li Qiang tetapi hubungan sangat baik. Tiada persoalan atau isu utama yang akan menyebabkan ketegangan,” katanya dalam sesi soal jawab di Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-39 di sini semalam.
Perdana Menteri berkata, China juga telah menyatakan sokongan terhadap Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dan rundingan berterusan mengenai Tatakelakuan ASEAN-China di Laut China Selatan.
Perkara itu, kata beliau seharusnya terus memandu usaha ke arah penyelesaian pertikaian secara aman.
Anwar juga berkata, ASEAN perlu terus komited terhadap diplomasi dan penglibatan disebalik naratif luar yang menumpukan secara berlebihan kepada prospek perang di rantau ini.
Katanya, keupayaan ASEAN untuk memelihara keamanan selama beberapa dekad disokong oleh hubungan rapat dalam kalangan pemimpinnya yang kerap berkomunikasi secara langsung untuk menyelesaikan perbezaan sebelum ia meruncing.
Sementara itu, Anwar berkata, ikap hipokrasi dan amalan dwistandard sesetengah negara barat menyebabkan negara-negara membangun atau dirujuk kini sebagai Negara Selatan Global sering berdepan layanan tidak adil.
Katanya, sesetengah negara barat dilihat melanggar undang-undang antarabangsa namun pada masa sama negara lain dikenakan piawaian pematuhan lebih ketat.
Mengkritik perkara itu, beliau berkata, Malaysia juga tidak terlepas berdepan situasi sedemikian melalui tindakan pembatalan oleh pembekal dari Norway bagi penghantaran misil anti kapal (NSM) walaupun pembayaran hampir selesai.
Tegas Anwar, wujudnya layanan tidak adil itu boleh menjejaskan kredibiliti sistem antarabangsa yang selama ini didakwa berasaskan kedaulatan undang-undang.-UTUSAN.










