YANGON: Junta Myanmar menetapkan 28 Disember ini sebagai tarikh bermulanya pilihan raya umum berfasa, meskipun diboikot oleh kumpulan pembangkang dan dikritik pemerhati antarabangsa.
Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan berkata, fasa pertama pilihan raya pelbagai parti bagi setiap parlimen akan bermula pada tarikh tersebut.
“Tarikh untuk fasa seterusnya akan diumumkan kemudian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Myanmar kekal bergolak sejak tentera menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi pada 2021, dengan dakwaan tidak berasas mengenai penipuan pilihan raya.
Perang saudara yang tercetus selepas rampasan kuasa itu menyebabkan wilayah luas kini dikuasai gerila pro-demokrasi serta kumpulan bersenjata etnik, yang berikrar menentang sebarang proses undi di kawasan mereka.
Junta mendakwa, pilihan raya adalah jalan keluar daripada konflik, namun Suu Kyi masih dipenjarakan dan pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggelar proses itu sebagai ‘penipuan’ untuk mengekalkan kuasa tentera.- AFP










