‘Jangan gadai kerusi Ampang hanya untuk seseorang’

‘Jangan gadai kerusi Ampang hanya untuk seseorang’

RODZIAH ISMAIL dan TENGKU ZAFRUL ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemimpin PKR diingatkan agar tidak menggadaikan kerusi Ampang semata-mata untuk seorang individu.

Ia susulan kemasukan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai ahli PKR Cabang Ampang.

Menegaskan perkara itu, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail berkata, beliau tidak menolak terdapat niat tertentu apabila PKR menerima masuk penyertaan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang juga Ketua Bahagian UMNO Kota Raja.

“Saya yakin bila kemasukan Zafrul ke situ (Cabang Ampang), mesti ada ‘intention’ tertentu yang saya tidak pasti.

“Namun saya hendak nasihatkan, apa pun keputusan yang ada, tunggulah supaya habis tempoh penggal sedia ada. Jangan jadikan Ampang kerusi yang dikorbankan.

“Kalau hanya untuk diberikan ruang dan laluan awal begitu dan meminta mana-mana ahli Parlimen atau Adun untuk beri laluan, saya rasa tidak wajar,” katanya ke­tika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Rodziah bagaimanapun akur dengan keputusan parti sekiranya meletakkan Zafrul untuk bertan­ding di kerusi tersebut pada pilihan raya akan datang.

“Saya daripada dulu, tidak menjadi individu yang bertahan di mana-mana. Kerusi Batu Tiga pun pernah digadai, saya akur sahaja.

“Tetapi saya nasihatkan supaya parti jangan mengulangi perkara-perkara yang sebenarnya merugikan parti,” katanya.

Minggu lalu, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh mengesahkan Tengku Zafrul menjadi ahli PKR Cabang Ampang dengan permohonannya diluluskan Majlis Pimpinan Pusat dalam mesyuarat 26 Julai lalu.

Senator itu mengumumkan peletakan jawatannya da­lam UMNO 30 Mei lalu, sekali gus melepaskan jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan UMNO Kota Raja.

Tengku Zafrul menyertai UMNO sejak 1997 tetapi dilihat sebagai teknokrat apabila dilantik Menteri Kewangan dalam Jemaah Menteri Muhyiddin Yassin pada Mac 2020, peranan yang dikekalkannya dalam kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob.

Keahliannya dalam UMNO ha­nya diketahui umum menjelang PRU 2022 apabila beliau dinamakan calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Kuala Selangor, tetapi gagal memenanginya.

Beliau melepaskan ja­watan Bendahari UMNO Selangor pada April 2024 atas alasan tiada usaha gigih memperbaiki parti di negeri itu selepas ka­lah teruk pada PRN, sebelum spekulasi beliau me­ninggalkan UMNO mula tersebar Disember lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN