KANGAR: Insiden pemasangan bendera Jalur Gemilang terbalik di sebuah sekolah di Negeri Sembilan, baru-baru ini tidak sepatutnya berlaku kerana boleh mencemarkan institusi pendidikan yang sepatutnya menjadi contoh.
Ketua Penerangan Pemuda Pas negeri, Aldzham Kamil Ahmad Kamil berkata, insiden tersebut telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat di negara ini khususnya ketika menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Katanya, insiden seperti itu bukan sekadar isu kecil sebaliknya satu bentuk kelalaian terutama di institusi pendidikan iaitu tempat yang sepatutnya mendidik dan menjadi contoh memupuk rasa hormat kepada simbol-simbol kenegaraan.
“Undang-undang juga tidak mengambil ringan terhadap isu ini. Perlu diingat, peraturan 5, Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 jelas menyatakan bahawa mana-mana individu yang menggunakan atau mempamerkan lambang negara secara tidak wajar atau menghina boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Meskipun dalam kes ini tiada unsur sabotaj dibuktikan, kecuaian seperti ini tetap tidak boleh dipandang ringan. Untuk berlaku adil, kita harus melihat insiden ini dalam konteks kes-kes terdahulu yang berkaitan.
“Kita tidak lupa bagaimana seorang penyampai radio swasta dikenakan kompaun dan tindakan hanya kerana menyebut sesuatu yang dianggap menyentuh sensitiviti agama, walaupun kenyataan itu dikeluarkan oleh individu dan bukan pihak pengurusan secara rasmi.
“Namun syarikat tempat individu tersebut bekerja tetap menerima hukuman. Justeru, prinsip keadilan dan kesaksamaan dalam penguatkuasaan undang-undang perlu diterapkan secara menyeluruh.
“Jika sebuah syarikat penyiaran boleh dikenakan kompaun kerana tindakan individu yang dikatakan menyindir agama, kenapa pula insiden yang menyentuh Jalur Gemilang yang merupakan simbol tertinggi negara kita ini tidak diberikan perhatian dan tindakan yang sama tegas,” katanya di sini hari ini.
Media baru-baru ini melaporkan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua memohon maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat susulan insiden pemasangan bendera Jalur Gemilang secara terbalik.
Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam kenyataan berjanji untuk terus melaksanakan tanggungjawab pendidikan dengan penuh integriti demi maruah negara.
Menurut lembaga itu, pihak sekolah menerima makluman sekitar pukul 5 petang dan mengambil langkah pembetulan dengan segera.
Tambah Aldzham Kamil, dalam kes berkenaan, siasatan perlu dijalankan secara telus dan tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang lalai atau gagal menjalankan pemantauan, termasuk terhadap kakitangan orang kurang upaya (OKU) yang ditugaskan.
“Hak dan keperluan khas mereka tetap perlu diraikan, namun tanggungjawab asas terhadap simbol negara tetap perlu dijaga oleh semua,” katanya.-UTUSAN