KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang dijangka berlangsung penuh saingan dengan penglibatan menyeluruh semua parti, tanpa sebarang undi protes atau boikot dalam kalangan pengundi.
Menurut bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar, budaya politik di Sabah berbeza dengan negeri lain kerana rakyatnya dilihat mahu semua parti bersaing secara terbuka dengan membawa konsep ‘Sabah for Sabahan’.
Katanya lagi, pola pengundian PRN Sabah kali ini dijangka ditentukan pengundi muda berikutan undi 18 yang kini sudah dilaksanakan.
“Saya tidak nampak akan berlaku boikot kerana konsep sikap rakyat Sabah ini adalah ingin melihat semua parti yang terlibat bertanding dengan membawa konsep ‘Sabah for Sabahan’.
“Namun, mungkin akan ada sedikit masalah kepada calon GRS untuk menjawab isu-isu di Sabah yang berkaitan dengan rasuah dan isu-isu semasa pemerintahan mereka, dan sudah pasti pembangkang akan menggunakan isu tersebut untuk menghentam mereka.
“Malah, saya jangkakan isu utama perjuangan Sabah berkaitan MA63 akan dimainkan sewaktu kempen nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Tambahnya lagi, PRN kali ini juga dijangka menjadi medan persaingan sengit antara parti-parti tempatan dengan parti dari Semenanjung, dengan banyak pihak melihat keputusan kali ini mampu membentuk corak baharu pentadbiran negeri berkenaan.
Katanya, sentimen ‘Sabah for Sabahan’ yang menjadi perjuangan beberapa parti politik tempatan dijangka memainkan pengaruh besar terhadap pola pengundian, sama ada berpihak kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor atau kepada Parti Warisan yang dipimpin Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Namun begitu, UMNO Sabah katanya, turut tidak ketinggalan kerana masih mendapat sokongan besar daripada rakyat negeri itu kerana sudah bertapak lama di Sabah, sekali gus berpotensi menjadi pemain utama dalam merebut pentadbiran negeri akan datang.
Begitu juga dengan GRS yang menampilkan 14 parti komponen, di mana jelas Wan Ahmad lagi, ia tidak terlepas daripada risiko keretakan dalaman, khususnya sekiranya isu agihan kerusi tidak dapat diselesaikan secara baik.
“Pengundi UMNO dilihat akan menyokong penuh kerana UMNO bukan parti baru. Parti-parti lain juga akan terus kekal disokong mengikut kekuatan di kawasan masing-masing. Dalam hal ini, jika tidak wujud kesepakatan dalam GRS, Hajiji akan berdepan masalah di mana mereka yang tidak terpilih menjadi calon itu mungkin akan berlaku undi sabotaj.
“Malah, undi atas pagar juga mungkin boleh berlaku di Sabah kerana mempunyai kewangan yang kukuh dan boleh mempengaruhi undi atas pagar untuk membeli undi,” katanya lagi. – UTUSAN










