Pertahan proses demokrasi, tolak ketidakstabilan politik

Pertahan proses demokrasi, tolak ketidakstabilan politik

UMAT Islam dan rakyat Malaysia diseru untuk bersatu mempertahankan kedaulatan demokrasi dan menolak ketidakstabilan politik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HIMPUNAN Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) memandang serius perkembangan politik mutakhir yang memperlihatkan usaha pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan melalui jalan selain daripada proses pilihan raya yang sah.
Sebagai gabungan NGO gerakan Islam yang berpegang kepada prinsip maqasid syariah dan keadilan dalam siasah, HIKAM menyatakan pendirian seperti berikut:

Tolak sebarang bentuk cubaan merampas kuasa secara tidak demokratik
HIKAM dengan tegas menolak usaha menjatuhkan kerajaan melalui “pintu belakang”, tekanan politik yang tidak sah atau perancangan seumpama Langkah Sheraton 2.0. Peralihan kuasa hanya wajar berlaku melalui pilihan raya yang adil dan bebas, selari dengan prinsip syura dan suara rakyat.

Pentingnya kestabilan demi kemajuan rakyat dan negara
Usaha-usaha menggugat kestabilan politik hanya akan mengundang krisis keyakinan, menjejaskan ekonomi dan menambah penderitaan rakyat. Islam mengajar agar mengutamakan maslahat ummah dan menolak kerosakan (mafsadah) yang timbul daripada perebutan kuasa tanpa asas demokratik.

Kembali kepada adab siasah dan jalan rundingan
HIKAM menyeru semua parti politik, termasuk pembangkang, untuk memainkan peranan semak dan imbang secara beradab dan bertanggungjawab. Sekiranya terdapat kelemahan dalam kerajaan, ia harus ditegur secara hikmah melalui dialog dan mekanisme perundangan yang sah, bukan melalui hasutan atau manipulasi kuasa.

Fokus kepada usaha memulihkan dan mereformasi negara
HIKAM menyeru semua pihak untuk bersama-sama fokus kepada usaha memulihkan dan mereformasi negara daripada rasuah wang dan kuasa, daripada pengayaan elit tertentu kepada pengagihan kekayaan negara yang saksama kepada rakyat, bagi memacu negara yang lebih sejahtera.

Oleh itu, kami menyeru umat Islam dan rakyat Malaysia untuk bersatu mempertahankan kedaulatan demokrasi, menolak ketidakstabilan politik dan terus menyokong agenda pembangunan negara berteraskan prinsip keadilan, perpaduan dan keamanan yang menjadi teras Malaysia Madani.

Politik Islam adalah menjunjung amanah, bukan merebut kuasa dengan tipu daya. – UTUSAN

Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN