Sanusi sekali lagi tolak pencalonan

Sanusi sekali lagi tolak pencalonan

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor melambai tangan kepada orang ramai ketika mengetuai Perarakan Bot Merdeka Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Sungai Kedah, Alor Setar, Kedah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sekali lagi menolak pencalonan untuk bertanding jawatan Naib Presiden Pas pada pemilihan parti itu sempena Muktamar Tahunan ke-71, pertengahan September ini.

Perkara itu sekali gus menyaksikan tiada pertandingan bagi jawatan Naib Presiden setelah tiga penyandang sebelum ini iaitu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad mempertahankan kedudukan masing-masing.

Muhammad Sanusi berkata, beliau hanya mempertahankan jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pusat bagi penggal 2025-2027.

“Saya tidak bertanding Naib Presiden, hanya akan bertanding jawatan AJK Pusat sahaja,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita pada Program Perarakan Bot Merdeka Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Muzium Negeri, Alor Setar, semalam.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi antara empat calon diumumkan layak bertanding jawatan itu bersama tiga penyandang iaitu Ahmad Samsuri; Mohd. Amar dan Idris.

Meskipun tidak mengulas lanjut sebab menolak pencalonan jawatan sama buat kali ketiga, namun diketahui ia selari dengan jawapan beliau sebelum ini iaitu mahu membiarkan tiga penyandang meneruskan tugas mereka dengan baik.

Pada pemilihan 2023 dan 2021, Menteri Besar Kedah itu turut menolak pencalonan tersebut walaupun sudah diumumkan layak setelah dicalonkan beberapa Kawasan Pas.

Pada 2023, beliau menerima undian tertinggi sebagai AJK Pusat dengan 1,098 undi.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi antara empat calon diumumkan layak bertanding jawatan itu bersama tiga penyandang iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Datuk Idris Ahmad.

Dalam pada itu, Idris mengesahkan akan mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 2015..

“Insya-Allah,” katanya ringkas ketika dihubungi Mingguan Malaysia, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN