KOTA BHARU: Penyerang import Kelantan The Red Warriors (Kelantan TRW) Ifedayo Olusegun menyelamatkan maruah pasukannya apabila jaringan penalti pada minit ke-78 membolehkan mereka seri 1-1 menentang Imigresen FC di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, tuan rumah memperoleh gol pertama pada minit ke-36 menerusi tandukan Ifedayo namun dibatalkan selepas penyerang itu didakwa melakukan kekasaran sebelum melakukan jaringan hasil semakan Video Pembantu Pengadil (VAR).
Minit ke-42, Eduardo Jose Vegas tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk gol pertama Imigresen FC susulan terjahan keras yang dilakukan oleh tonggak Kelantan TRW M. Rakesh ke atas pemain pelawat.
Bersambung babak kedua, skuad kendalian E. Elavarasan terus mengasak ke kubu pelawat untuk mendapatkan jaringan penyamaan, namun dihampakan oleh ketumpulan jentera penyudah.
Minit ke-78, Imigresen FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Amirali Chegini dilayangkan kad merah pada minit ke-76 apabila menggunakan tangan untuk menepis cubaan Muhammad Farris Izdham Mohd. Rosli.
Situasi itu menyebabkan pengadil perlawanan Muhammad Usaid Jamal memberikan sepakan penalti dan Ifedayo memanfaatkan peluang tersebut untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1 pada minit ke-78.
Kelebihan itu gagal dimanfaatkan oleh barisan pemain Kelantan TRW yang menyaksikan keputusan 1-1 kekal sehingga ke wisel penamat perlawanan.-UTUSAN