Trump 'dimalukan' di Alaska, gagal pujuk Putin akhiri perang Ukraine

Trump ‘dimalukan’ di Alaska, gagal pujuk Putin akhiri perang Ukraine

PRESIDEN AS, Donald Trump dan Presiden Russia, Vladimir Putin berdiri di hadapan wartawan semasa sidang media bersama selepas sidang kemuncak AS-Russia mengenai Ukraine di Anchorage, Alaska.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALASKA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ‘dimalukan’ sekali lagi apabila gagal mencapai sebarang kejayaan penting mengenai konflik Ukraine dalam sidang kemuncak di Alaska dengan Presiden Russia, Vladimir Putin, kelmarin.

Walaupun menunjukkan beberapa titik persetujuan dan menghidupkan semula hubungan kedua-dua pemimpin, rundingan itu tidak menghasilkan sebarang langkah bermakna ke arah gencatan senjata di Ukraine.

Bahkan, pertemuan bersemuka tersebut dilihat sebagai kemenangan buat Putin yang sebelum ini dipulaukan oleh pemimpin Barat sejak pencerobohan berskala penuh Russia ke atas Ukraine pada 2022.

Trump, yang gemar menggelar dirinya ‘pakar perunding’, sebelum ini meletakkan sasaran besar kononnya Russia bersedia menamatkan perang.

Menurut Trump, perbincangan selama tiga jam itu mencapai kesepakatan awal bahawa perang Ukraine bakal ditamatkan melalui pertukaran wilayah serta jaminan keselamatan daripada AS.

Dalam wawancara bersama Fox News, beliau mengesahkan perkara itu selepas ditanya mengenai konsesi wilayah yang memberi Russia tanah baharu serta jaminan keselamatan untuk Ukraine.

“Itu perkara yang kami rundingkan, dan sebahagian besarnya sudah dipersetujui,” katanya sambil menyifatkan pertemuan dengan Putin sebagai ‘mesra’ dan produktif.

Trump berkata, mereka sudah ‘hampir ke penghujung’ proses rundingan, namun menegaskan keputusan muktamad tetap bergantung kepada persetujuan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.

“Sekarang terpulang kepada Presiden Zelensky untuk merealisasikannya,” katanya.

Sementara itu, Putin yang hanya meluangkan masa 12 minit bersama media, memberi amaran kepada Ukraine dan negara Eropah supaya tidak mewujudkan sebarang halangan dan cuba menggagalkan kemajuan yang sedang terbentuk melalui provokasi atau tipu daya di belakang tabir.

“Kami berharap persefahaman yang dicapai ini akan membuka jalan ke arah keamanan di Ukraine,” kata Putin.

Sambutan mesra terhadap Putin berbeza dengan tindakan Trump yang pernah mengkritik Zelensky, semasa bertemu di Rumah Putih pada Februari.- AFP/CNN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×