Faktor penentu bergantung reaksi rakyat Sabah

Faktor penentu bergantung reaksi rakyat Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Keputusan Parti Warisan (Warisan) untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) akan datang dilihat sebagai strategi untuk mengukuhkan keyakinan rakyat Sabah terhadap perjuangan parti itu tanpa terikat dengan kompromi dalam gabungan politik.

Pensyarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah (UMS),
Prof Madya Dr. Anantha Raman Govindasamy berkata, langkah itu dipercayai lahir daripada keyakinan kepemimpinan Warisan bahawa pendekatan solo lebih meyakinkan pengundi berbanding melalui gabungan dengan parti lain.

Katanya, Warisan merasakan dengan bergerak sendiri, mereka lebih bebas memilih calon terbaik tanpa perlu berkompromi dengan parti lain.

“Ini memberikan keselesaan kerana tidak timbul isu pertindihan kerusi atau rasa tidak puas hati yang biasanya berlaku dalam gabungan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Menurut beliau, kelebihan itu membolehkan Warisan menggunakan lebih banyak masa untuk menampilkan calon baharu, turun padang serta berkempen, berbanding menghabiskan masa berunding soal pembahagian kerusi dalam gabungan.

Mengulas senario politik Sabah, Dr. Anantha menjelaskan politik negeri itu kini cenderung kepada pembentukan gabungan selepas pilihan raya, berbeza dengan corak lama yang lazimnya membentuk kerjasama sebelum pilihan raya.

“Sekarang ini kita lihat gabungan politik di Sabah lebih kepada selepas pilihan raya. Parti akan lihat berapa kerusi yang dimenangi, kemudian barulah mereka duduk semeja untuk membentuk kerajaan. Ini perbezaan besar dengan keadaan dahulu,” jelasnya.

Menyentuh isu pengundi muda, beliau berkata, Warisan mungkin mendapat kelebihan kerana strategi solo membolehkan lebih ramai calon muda diketengahkan.

“Golongan belia ini kebanyakannya pengundi atas pagar dan hanya membuat keputusan pada saat akhir. Parti politik perlu benar-benar memahami aspirasi mereka terutama dari segi peluang pekerjaan, pendidikan dan masa depan. Manifesto yang jelas dan realistik penting untuk meyakinkan mereka,” katanya.

Beliau menambah, kadar keluar mengundi yang menurun sejak beberapa pilihan raya lalu juga menjadi cabaran besar.

“Masih ada masa sebelum PRN. Peratusan keluar mengundi bergantung kepada usaha parti politik meyakinkan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar, untuk turun mengundi kerana ia sebahagian daripada amalan demokrasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN