MEXICO CITY: Enam kepala manusia ditemukan di atas jalan raya di tengah Mexico, kawasan yang sebelum ini jarang dikaitkan dengan keganasan kartel.
Pihak berkuasa tempatan berkata, penemuan mengerikan itu berlaku pada awal pagi semalam di laluan yang menghubungkan negeri Puebla dan Tlaxcala, umumnya dianggap sebagai wilayah aman.
Setakat ini, polis belum mendedahkan motif pembunuhan tersebut atau mengenal pasti kumpulan jenayah yang bertanggungjawab.
Media tempatan melaporkan, sehelai selimut ditinggalkan di lokasi dengan mesej amaran kepada kumpulan saingan, dipercayai ditandatangani kumpulan yang dikenali sebagai La Barredora atau penyapu.
Nama tersebut sama dengan kumpulan jenayah kecil yang beroperasi di negeri Guerrero, barat Mexico, namun tidak jelas sama ada mereka dalang kejadian.
Pejabat pendakwa tempatan berkata, kepala yang ditemukan di Tlaxcala adalah milik lelaki dan siasatan dilancarkan berhubung pembunuhan itu, lapor AFP.
Selain pengedaran dadah, rantau itu turut berdepan masalah penyeludupan bahan api yang dikenali sebagai huachicolea, yang dilaporkan menjana berbilion dolar setahun kepada kumpulan di sebalik aktiviti haram tersebut.
Setakat ini, pihak berkuasa persekutuan belum mengulas mengenai pembunuhan itu.
Kes berkenaan berlaku ketika pentadbiran Presiden Claudia Sheinbaum sedang giat melaksanakan tindakan keras terhadap penyeludupan fentanyl.










