Empangan Teheran berisiko kering menjelang Oktober

Empangan Teheran berisiko kering menjelang Oktober

EMPANGAN Amir Kabir di Pegunungan Alborz, utara Iran merupakan antara empangan yang berada pada paras air membimbangkan akibat kemarau.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian memberi amaran empangan yang membekelkan air ke ibu negara berisiko kering dalam tempoh beberapa bulan jika penggunaan air tidak dikawal.

Beliau menjelaskan, simpanan air mungkin kering menjelang Oktober, iaitu bulan pertama musim luruh dalam kalendar Parsi, ketika permintaan meningkat dengan pembukaan sesi persekolahan dan sebelum bermulanya tengkujuh.

“Jika kita di Teheran gagal menguruskan keadaan ini, dan rakyat tidak bekerjasama serta tidak mengawal penggunaan, maka tiada lagi air yang tinggal di sebalik empangan,” katanya semasa lawatan ke Zanjan, barat laut Iran, kelmarin.

Menurut infografik yang dikongsi agensi berita rasmi IRNA, takungan yang membekalkan air ke Teheran kini hanya pada kapasiti 20 peratus.

Secara keseluruhan, purata paras takungan di seluruh negara berada pada tahap 44 peratus.

Syarikat Bekalan Air Wilayah Teheran memaklumkan, paras air di empangan yang membekalkan bandar raya itu merosot ke tahap terendah dalam tempoh satu abad.

Pihak berkuasa menggesa penduduk untuk memasang tangki air dan pam bagi menghadapi gangguan bekalan yang semakin kerap berlaku di seluruh negara.

Banyak isi rumah melaporkan gangguan berulang di kawasan kediaman mereka sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Media tempatan mempersoalkan tindakan kerajaan yang menyalahkan penggunaan air domestik sebagai punca utama krisis tersebut.

Akhbar reformis Shargh melaporkan, 86.5 peratus air negara digunakan oleh sektor pertanian, bukan isi rumah, termasuk menyifatkan tuduhan terhadap pengguna domestik sebagai tidak tepat.

Walaupun tiada pengumuman rasmi berhubung catuan air setakat ini, bekalan elektrik pula dipotong sekurang-kurangnya dua jam setiap hari di kawasan kejiranan seluruh negara.

Pihak berkuasa mengakui di sesetengah kawasan, bekalan elektrik terpaksa dihentikan daripada sekali sehari bagi mengurangkan tekanan terhadap sistem grid negara.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN