PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) disaran memperkenalkan Indeks Kesejahteraan Sekolah sebagai panduan berikutan peningkatan mendadak kes buli di sekolah sejak kebelakangan ini.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, indeks itu berfungsi sebagai alat untuk mengukur tahap keselamatan, kebajikan, kesihatan, disiplin serta kualiti persekitaran sekolah di seluruh negara.
Katanya, tanpa indeks berkenaan, KPM tidak mempunyai data menyeluruh untuk mengenal pasti masalah sebenar di sekolah sekali gus menyukarkan usaha menangani isu buli yang semakin meruncing.
Katanya, dengan adanya indeks ini, KPM akan mempunyai data komprehensif mengenai lebih 10,000 buah sekolah di Malaysia.
“Sekolah yang mendapat skor rendah dapat dikenal pasti untuk diberi perhatian segera termasuk dari segi penyaluran bantuan, penambahbaikan kemudahan, program pembangunan sahsiah serta sokongan disiplin dan kesihatan pelajar.
“Sekarang ini ada sekolah besar yang lengkap menerima peruntukan besar kerana jumlah murid ramai sedangkan ada sekolah lain yang berdepan masalah disiplin, kemudahan daif dan persekitaran tidak selamat tetapi kurang mendapat sokongan.
“Indeks ini akan membolehkan bantuan diagih secara lebih adil dan berfokus mengikut keperluan sebenar,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Sejak tahun 2015, sebanyak 3,011 kes buli dilaporkan di sekolah. Angka itu terus meningkat kepada 3,887 kes pada 2022 dan melonjak lagi kepada 5,319 kes pada 2023 sebagaimana direkodkan KPM.
Setakat Oktober 2024, Sistem Sahsiah Diri Murid (SDM) mencatatkan 6,208 kes dengan 11,594 pelajar terlibat sama ada sebagai pembuli atau mangsa.
Perkembangan itu menunjukkan berlakunya peningkatan hampir dua kali ganda dalam tempoh sembilan tahun.
Mengulas kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka selepas berlakunya kes buli, Anuar berkata ia adalah sesuatu yang wajar namun tindakan mengeluarkan anak daripada asrama bukanlah penyelesaian terbaik.
“KPM sedang mengambil langkah proaktif untuk memperkukuh kawalan, meningkatkan kesedaran dan menjamin keselamatan pelajar. Malah, Menteri Pendidikan sendiri sudah memberi jaminan keselamatan di sekolah dan asrama akan dipastikan berada dalam keadaan baik, teratur dan terkawal.
“Yang lebih penting sekarang adalah komunikasi pihak sekolah dengan ibu bapa mesti dipertingkatkan supaya mereka faham langkah keselamatan yang telah diambil. Dengan cara ini, keyakinan ibu bapa dapat dipulihkan tanpa perlu mengeluarkan anak dari asrama,” jelasnya.
Tambah Anuar, kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap pelantikan warden tetap sepenuh masa di asrama.
“Sistem sekarang yang melibatkan guru dilantik sebagai warden tidak memadai kerana mereka juga perlu mengajar dan melaksanakan tugas lain. Akibatnya, tumpuan kepada pelajar di asrama tidak menyeluruh.
“Jawatan warden tetap adalah kritikal untuk dipantau sepenuhnya keselamatan, kebajikan dan disiplin pelajar. Warden tetap ini pula boleh dibantu guru sebagai pembantu warden untuk menjadikan pengurusan asrama lebih berkesan dan teratur,” katanya. – MINGGUAN










