SEJAK beberapa hari lalu, negara anggota Liga Arab buat kali pertama sebulat suara menyokong usaha menyingkirkan kumpulan pejuang Hamas sebagai pentadbir Semenanjung Gaza.
Mereka menyatakan sudah tiba masanya Gaza ditadbir oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang diiktiraf komuniti antarabangsa berbanding Hamas.
Hasrat itu sebenarnya sudah lama dikemukakan, namun semakin memuncak sejak tercetusnya perang di wilayah bergolak tersebut sejak 7 Oktober 2023.
Disebabkan itu, Liga Arab membuat keputusan, Hamas tidak boleh lagi mentadbir Gaza dengan harapan wilayah itu kembali aman dan stabil.
Namun, sejauh mana tanggapan itu?
TEBING BARAT VS GAZA
Meskipun ramai yang melihat Hamas sebagai penghalang kepada penyelesaian damai, terdapat juga keraguan besar terhadap naratif tersebut, terutamanya berdasarkan situasi yang berlaku di wilayah Tebing Barat.
Di Tebing Barat, pentadbiran dijalankan oleh PA. Namun, penindasan terhadap rakyat Palestin masih berlaku oleh rejim Zionis.
Kediaman rakyat Palestin masih dirobohkan pihak berkuasa Israel tanpa sebab yang munasabah walhal infrastruktur itu didirikan di atas tanah mereka sendiri.
Jadi, bagaimana naratif Gaza akan kembali aman jika ditadbir PA boleh disokong sedangkan rakyat Palestin di Tebing Barat masih ditindas. Cumanya, laporan media kini tertumpu ke Gaza.
Tindakan Israel terhadap Palestin tidak semata-mata bergantung kepada siapa yang mentadbir Gaza atau Tebing Barat.
Penjarahan tanah, perluasan penempatan haram, dan operasi ketenteraan tetap berlaku tanpa henti, sering kali atas nama keselamatan, walaupun tidak ada konfrontasi ketenteraan besar.
Keadaan ini menimbulkan keraguan terhadap keikhlasan cadangan untuk menyingkir Hamas kononnya demi keamanan, kerana tindakan Israel menunjukkan kekerasan dan pendudukan tetap berlaku walaupun tanpa kehadiran Hamas.
SIAPA AKAN TADBIR GAZA?
Dalam usaha merangka masa depan politik Gaza, kerajaan Mesir kini giat melatih ratusan rakyat Palestin bagi mengambil alih pentadbiran wilayah itu sebaik perang dengan Israel berakhir.
Langkah ini sebagai usaha serantau untuk mewujudkan pentadbiran alternatif kepada Hamas, yang sudah menguasai Gaza sejak 2007.
Tetapi sejauh mana usaha ini mampu membuahkan hasil?
Walaupun latihan teknikal penting, kejayaan sebarang pentadbiran baharu tetap bergantung kepada legitimasi rakyat Gaza sendiri.
Hamas, walaupun kontroversial, masih mempunyai sokongan akar umbi di beberapa kawasan kerana dilihat sebagai simbol penentangan terhadap Israel.
Tanpa sokongan politik dan sosial yang kukuh, pentadbiran baharu berisiko menjadi boneka kuasa asing, termasuk Mesir atau Israel.
Ada juga pihak percaya tekanan terhadap Hamas tanpa pelan peralihan yang jelas hanya akan mencetuskan krisis kemanusiaan lebih buruk.
Tanpa pentadbiran yang kukuh di Gaza juga membuka ruang wilayah itu ‘dirampas sepenuhnya’ oleh Zionis atau diganggu gugat kumpulan Daesh.
Kesimpulannya, realiti yang perlu dihadap oleh Liga Arab amat kompleks kerana masalah Palestin bukan semata-mata soal siapa yang memerintah, tetapi soal penjajahan yang berterusan.
Selagi isu utama seperti penamatan pendudukan, pemulangan tanah Palestin, dan penubuhan negara merdeka tidak diselesaikan, maka menyingkirkan Hamas bukanlah jaminan kepada keamanan, sebaliknya mungkin membuka babak baharu dalam konflik tidak berpenghujung.











