Banjir kilat di Pakistan ragut 320 nyawa dalam 48 jam

Banjir kilat di Pakistan ragut 320 nyawa dalam 48 jam

PENDUDUK berkumpul berhampiran kenderaan yang rosak akibat dihanyutkan banjir kilat di Mingora, wilayah Khyber Pakhtunkhwa, utara Pakistan, semalam.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PESHAWAR: Pasukan penyelamat bergelut mengeluarkan mayat daripada timbunan runtuhan selepas banjir kilat akibat hujan lebat di utara Pakistan meragut sekurang-kurangnya 321 nyawa dalam tempoh 48 jam lalu.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Wilayah berkata, kebanyakan kematian melibatkan 307 orang dilaporkan di kawasan pegunungan Khyber Pakhtunkhwa.

Majoriti mangsa maut akibat banjir kilat dan rumah runtuh, termasuk 15 wanita dan 13 kanak-kanak, manakala sekurang-kurangnya 23 yang lain cedera.

Agensi penyelamat wilayah memberitahu AFP, kira-kira 2,000 anggota dikerahkan dalam misi menyelamat di kawasan runtuhan dan melaksanakan operasi bantuan di sembilan daerah terjejas.

“Hujan lebat, tanah runtuh di beberapa kawasan serta kerosakan jalan raya menimbulkan cabaran besar dalam menghantar bantuan, khususnya mengangkut jentera berat dan ambulans.

“Disebabkan penutupan jalan di kebanyakan kawasan, pasukan penyelamat terpaksa berjalan kaki untuk menjalankan operasi di kawasan terpencil,” kata jurucakap agensi penyelamat Khyber Pakhtunkhwa, Bilal Ahmed Faizi kepada AFP.

Kerajaan wilayah mengisytiharkan daerah pegunungan di Burner, Bajaur, Swat, Shangla, Mansehra dan Battagram, yang teruk terjejas sebagai kawasan bencana.

Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan lebat di barat laut Pakistan dan menggesa orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, sembilan lagi mangsa dilaporkan maut di Kashmir yang ditadbir Pakistan, manakala lima terbunuh di wilayah utara Gilgit-Baltistan, menurut pihak berkuasa bencana negara.

Lima lagi, termasuk dua juruterbang, terbunuh apabila sebuah helikopter kerajaan tempatan terhempas akibat cuaca buruk ketika menjalankan misi bantuan, kelmarin.

Musim tengkujuh membawa kira-kira tiga perempat daripada jumlah hujan tahunan di Asia Selatan, yang penting untuk pertanian dan keselamatan makanan, tetapi juga mengancam kemusnahan.

Tanah runtuh dan banjir kilat adalah perkara biasa sepanjang musim itu, yang lazimnya bermula pada Jun dan kembali reda menjelang akhir September.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN