ATM tubuh jawatankuasa khas siasat kematian pelatih Palapes

ATM tubuh jawatankuasa khas, siasat kematian pelatih kadet Palapes

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Pertahanan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat serta mengenal pasti punca kematian seorang Pelatih Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang meninggal dunia di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (Pulada), Ulu Tiram, 28 Julai lalu.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jawatankuasa itu dianggotai tiga agensi iaitu Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pengajian Tinggi.

Post mortem terhadap pelajar tersebut telah dibuat, tetapi kita masih belum dapat keputusan itu.

“Di peringkat ATM (Angkatan Tentera Malaysia) kami akan tubuhkan satu jawatankuasa untuk siasat apakah punca dan sebab kematian kepada mangsa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Mawar, di sini hari ini. 

Terdahulu media melaporkan ibu mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, menuntut agar siasatan dijalankan berhubung kematian anaknya, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, sewaktu menjalani latihan di Pulada.

Dia dilaporkan berkata sebab kematian anaknya masih belum dijelaskan pihak berkuasa dengan pemerhatian mendapati kecederaan teruk pada tubuh jenazah tidak selari dengan maklumat awal kematian yang berpunca daripada sawan.

Antaranya termasuklah pendarahan dalam kuantiti banyak di hidung dan mata yang dipercayai terjadi susulan impak hentakan kuat di kepala, selain beberapa kecederaan lain seperti lebam dan luka pada badan termasuk bahagian leher serta bahu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman dalam kenyataan semalam memberitahu, tiada kecederaan berunsur jenayah dikesan.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk tindakan prosedur siasatan. 

“Hasil bedah siasat mendapati tiada kecederaan berunsur jenayah dikesan bagaimanapun punca kematian masih menunggu hasil siasatan makmal,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN