PETALING JAYA : Tindakan setimpal termasuk pendakwaan di mahkamah perlu diambil pihak berkuasa terhadap tiga lelaki yang tular memberikan sisa tulang ayam kepada seorang gelandangan.
Pendakwah bebas, Firdaus Wong berkata, perbuatan mereka itu satu tindakan menghina golongan susah walaupun mereka sudah memohon maaf.
“Dalam isu ini mereka memang kita boleh nampak dengan sengaja, walaupun mereka ada membuat kenyataan kononnya, sudah memberitahu kepada gelandangan itu, bahawa ini hanya untuk content (kandungan media sosial)
“Tetapi ia tetap menghina. Sebenarnya, bukan sahaja mereka menghina individu itu, jauh lebih besar daripada itu adalah mereka menghina diri mereka, kemuliaan diri mereka dan maruah diri,” katanya di sini hari ini.
Firdaus berkata, jika ada undang-undang yang boleh dakwa mereka maka satu tindakan yang tegas perlu diambil agar menjadi peringatan kepada mana-mana pihak yang membuat kandungan sebegitu.
“Saya harap pihak berkuasa akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya jikalau ada ruang untuk mendakwa mereka di mahkamah.
“Jangan kita mencari alasan untuk memberikan kesedaran tetapi kita mempermain-mainkan dan berlakon sehingga mencetuskan satu huru-hara yang tidak sepatutnya,” jelasnya.
Terdahulu pemuda menerima kecaman pengguna media sosial orang ramai susulan video tular mereka memberikan makanan sisa tulang ayam berserta nasi kepada seorang gelandangan.
Menerusi video itu, tiga individu terbabit telah ke sebuah restoran makanan segera dan membeli ayam goreng. Kemudiannya mereka mengumpulkan tulang-tulang ayam itu dan meletakkannya di dalam bungkusan nasi dan memberikannya kepada gelandangan.-UTUSAN.










