Syed Saddiq kekal lepas, bebas

Syed Saddiq kekal lepas, bebas

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman bersama ahli keluarganya ceria selepas Mahkamah Persekutuan semalam membuat keputusan mengetepikan rayuan pihak pendakwaan berhubung keputusan melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan menyeleweng dana Armada. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan Mah­kamah Persekutuan melepas dan membebaskan sepenuhnya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada sabitan dan hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta merupakan bukti kebebasan institusi kehakiman di negara ini.

Syed Saddiq berkata, keputusan mahkamah untuk menolak rayuan pihak pendakwaan itu mengukuhkan keyakinannya terhadap kebebasan institusi kehakiman sebagai benteng terakhir rakyat untuk mendapatkan keadilan.

“Saya berharap selepas keputusan ini, saya dapat terus mempertahankan institusi keadilan negara, kebebasan badan kehakiman dan institusi yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat,” katanya kepada pemberita di Istana Kehakiman, di sini semalam.

Semalam, dengan penghakiman majoriti 2-1, Hakim, Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah menolak rayuan pihak pendakwaan manakala Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais menentang keputusan tersebut.

“Awak sudah tahu keputusan majoriti kami. Apa yang saya nyatakan sebelum ini berhubung sabitan dan hukuman tidak lagi terpakai kerana dua lagi hakim tidak sependapat dengan saya.

“Anda kekal dilepaskan dan dibebaskan,” ujar Hakim Abu Bakar kepada Syed Saddiq sebelum menamatkan prosiding.

Pada 25 Jun 2025, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskan Syed Saddiq selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan salah bagi pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, menyalahgunakan harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu.

Pihak pendakwaan membuat rayuan berhubung keputusan ity dan ia kemudian didengar di Mahkamah Persekutuan.

Syed Saddiq sementara itu berkata, sepanjang enam tahun berdepan proses perundangan, beliau tidak pernah gentar atau meminta layanan istimewa ke­rana yakin berada di pihak yang benar.

“Sebelum dibawa ke mah­ka­mah, saya tidak pernah tunduk, tidak pernah takut, tidak menggunakan kekerasan dan tidak pernah meminta la­yanan istimewa kerana saya tahu saya berada di pihak yang benar.

“Saya tidak melakukan ke­salahan dan saya berpegang kepada prinsip serta keberanian kerana itulah yang betul,” katanya.

Beliau dalam pada itu memberitahu memerlukan sedikit masa untuk menyusun langkah politiknya.

“Saya sentiasa bersama Mu­da, saya tidak pernah meninggalkan Muda. Berhubung perancangan politik selepas ini, be­rilah saya sedikit masa untuk menelitinya. Saya juga mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga dan menguruskan kehidupan peribadi terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, dalam prosiding semalam, Hakim Che Mohd. Ruzima menerusi penghakimannya menyatakan Mah­kamah Rayuan tidak terkhi­laf apabila melepaskan dan membebaskan Syed Saddiq da­ripada kesemua pertuduhan itu.

Ujarnya, Syed Saddiq tidak boleh dianggap melakukan perbuatan itu apabila pesalah utama, Rafiq Hakim, tidak pernah didakwa.

“Mahkamah turut mengambil perhatian bahawa saksi pendakwaan ke-13 (Rafiq Hakim) sendiri tidak pernah didakwa atas kesalahan pecah amanah jenayah.

“Dalam sistem keadilan jenayah, beban membuktikan kesalahan terletak kepada pendakwaan. Prinsip anggapan tidak bersalah adalah prinsip asas undang-undang jenayah. Syak wasangka yang kuat sekali pun tidak boleh menggantikan bukti,” katanya.

Tambahnya, pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting bagi kesalahan-kesalahan tersebut, termasuk dakwaan bahawa Syed Saddiq telah secara tidak jujur menyalahgunakan RM120,000 milik syarikat Bersatu Youth, ABBE.

“Berdasarkan keterangan tersebut, wang RM120,000 itu bukan milik ABBE, atau PW13 (saksi pendakwaan ke-13, Rafiq Hakim Razali) mahupun mana-mana pihak lain.

“Pada asalnya wang yang dikutip itu adalah milik para penyumbang namun selepas diserahkan kepada Syed Saddiq untuk membiayai kempen politiknya di Muar, beliau menjadi pemilik benefisial kepada wang RM120,000 tersebut,” katanya.

Hakim Sequerah turut memberikan alasan penghakiman hampir serupa dengan Hakim Che Mohd. Ruzima apabila memberitahu bahawa Syed Saddiq ‘berhak di sisi undang-undang terhadap wang tersebut’.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN