PETALING JAYA: Harga minyak mentah melonjak hingga empat peratus pada Isnin, menghampiri AS$80 (RM326.49) setong, susulan pertikaian laluan perdagangan berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran melibatkan Selat Hormuz yang merupakan antara laluan minyak utama global.
Sehingga lewat petang semalam, harga minyak mentah Brent meningkat 4.3 peratus kepada AS$79.28 (RM322.47) setong, manakala penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI) naik 4.4 peratus kepada AS$74.58 (RM303.35) setong.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sentimen geopolitik susulan ketegangan yang berterusan di Asia Barat, khususnya risiko di Selat Hormuz yang menjadi laluan kira-kira 20 peratus perdagangan minyak dunia menjadi faktor utama harga minyak mentah melonjak.
Katanya, premium risiko sudah mula dimasukkan ke dalam harga insurans ekoran kebimbangan bekalan, walaupun belum berlaku gangguan fizikal terhadap penghantaran minyak.
“Faktor kedua ialah tindakan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) yang diketuai Arab Saudi dan Rusia mengekalkan pemotongan pengeluaran sebanyak 2.2 juta tong sehari, sekali gus mengecilkan stok minyak global.
“Faktor ketiga pula ialah peningkatan permintaan bahan api semasa musim panas, terutama penggunaan petrol dan bahan api penerbangan di AS serta beberapa negara Asia berikutan pertambahan aktiviti perjalanan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas prospek harga minyak, Aimi Zulhazmi berkata, terdapat kemungkinan harga minyak mentah melepasi paras AS$80 (RM326.49) setong sekiranya berlaku gangguan terhadap aliran bekalan.
“Senario harga melebihi AS$80 setong boleh berlaku jika operasi di Selat Hormuz terjejas, walaupun hanya selama tiga hingga lima hari atau sekiranya OPEC+ mengumumkan pengurangan pengeluaran tambahan.
“Sebaliknya, harga boleh kembali menurun sekiranya AS melepaskan rizab petroleum strategiknya atau data ekonomi China menunjukkan pertumbuhan yang lebih lemah daripada jangkaan,” katanya.
Beliau menjangkakan harga minyak mentah akan bergerak dalam julat AS$75 (RM306.10) hingga AS$85 (RM346.90) setong bagi tempoh satu hingga tiga bulan akan datang.
Tambahnya, paras AS$90 (RM367.32) setong boleh dianggap sebagai garis merah sekiranya konflik geopolitik di Asia Barat terus merebak dan menjejaskan bekalan minyak global.
Sementara itu, BIMB Securites Sdn. Bhd. berkata, ekuiti global bercampur-campur apabila gaji AS yang lemah pada Jun gagal mereda Rizab Persekutuan (Fed) yang agresif, mengekalkan dolar yang kukuh, manakala cip Asia Utara menurunkan penarafan.
Katanya, Malaysia kekal berdaya tahan, dilindungi oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama sebanyak 5.4 peratus, profil pengeksport komoditi dan ringgit yang stabil sekitar 4.07, dengan pegangan Kadar Dasar Semamalam (OPR) pada 2.75 peratus yang menyokong sentimen.
“Aliran asing berbalik secara muktamad, beralih kepada aliran masuk bersih RM75 juta apabila warga asing kembali ke sektor kewangan, utiliti dan perladangan, sambil menjual saham perindustrian dan teknologi.
“Risiko utama adalah konflik Asia Barat yang semakin meruncing, dengan serangan AS-Iran yang diperbaharui dan ancaman terhadap Selat Hormuz telah meningkatkan Brent dengan mendadak.
“Lonjakan berterusan melebihi AS$80 (RM326.49) setong boleh membangkitkan semula kebimbangan inflasi dan mengubah nada Bank Negara Malaysia (BNM), sekali gus mengganggu sensitif kadar bank yang baru dibeli oleh warga asing,” jelasnya. – UTUSAN










