PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan membuat permohonan agar
inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir dipercepatkan.
Jabatan itu menerusi kenyataan hari ini berkata, ia memandangkan kes berkenaan merupakan berkepentingan awam.
“Memandangkan kes ini adah suatu kes yang berkepentingan awam, jabatan ini akan memohon agar permohonan kes ini dipercepatkan demi memastikan keadilan dapat ditegakkan bukan sahaja kepada keluarga Allahyarham Zara Qairina tetapi juga demi kepentingan masyarakat umum,” katanya.
Dalam pada itu, jabatan berkenaan memaklumkan, Mahkamah Koroner Kota Kinabalu telah menetapkan esok sebagai tarikh sebutan bagi menetapkan tarikh-tarikh pendengaran inkues tersebut.
Terdahulu media melaporkan, peguam, Hamid Ismail mewakili ibu mangsa, Noraidah Lamat berkata, sebutan inkues berhubung kes kematian Zara Qairina akan diadakan pada pukul 9 pagi, esok.
Pada 13 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara mengumumkan keputusan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina, termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya.
Sehubungan itu, Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah telah membuat permohonan kepada Mahkamah Koroner Kota Kinabalu agar suatu inkues diadakan selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).-UTUSAN.










