KUALA LUMPUR: Sehingga 31 Mac 2025, seramai 8,653 pakar perubatan sedang berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan
(KKM).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan membuat beberapa inisiatif untuk meningkatkan jumlah pakar termasuk melaksanakan pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bagi memperkemas proses pengiktirafan kepakaran melalui program sarjana atau laluan parallel.
“Selain itu, KKM juga bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dengan meningkatkan slot pengajian kepakaran
program sarjana perubatan daripada 1,100 slot kepada 1,600 slot bagi 23 bidang kepakaran mulai sesi 2023/ 2024.
“Menyediakan slot program latihan kepakaran laluan parallel tajaan KKM sehingga 600 slot setiap tahun melibatkan 14 bidang kepakaran. Sehingga kini, seramai 7,452 pegawai perubatan sedang mengikuti program kepakaran sarjana dan parallel.
“Program latihan kepakaran (PLK) dengan biasiswa KKM bagi pegawai perubatan kontrak untuk mengikuti pengajian
kepakaran mulai sesi 2022/2023. Sehingga kini, seramai 340 pegawai perubatan kontrak sedang mengikuti program kepakaran,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.
Dzulkefly berkata, KKM juga melaksanakan beberapa langkah bagi retensi pakar sedia antaranya mewujudkan Gred UD15 bagi pakar perubatan serta lebih peluang kenaikan pangkat ke gred khas atau gred utama-UTUSAN.










