JOHOR BAHRU: Kecederaan fizikal tidak menjadi penghalang buat koperal Mohd. Ilham Hakim Romli, 36, menunaikan tanggungjawab untuk keluar mengundi pada hari pengundian awal.
Mohd. Ilham tiba di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua pada pukul 8.20 pagi dalam keadaan tangan kanannya memakai balutan anduh.
Katanya, dia bersemangat hadir ke pusat mengundi itu dari rumahnya di Taman Impian Jaya, Senai sebelum mengadakan pemeriksaan lanjut keadaan tangannya di hospital.
“Hari ini saya dijadualkan untuk temu janji bersama doktor pakar bahagian ortopedik untuk melihat keadaan sama ada perlu memasang plat besi di bahagian tulang bahu yang sedikit terkeluar.
“Jadi, saya minta adik saya untuk hantar ke sini bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Bagi saya, selagi boleh berjalan, saya akan usaha untuk keluar mengundi,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah Mohd. Ilham, dia mengalami kecederaan patah tangan ketika bertugas apabila membuat rondaan dengan menaiki motosikal di Bangunan Sultan Iskandar, di sini minggu lalu.
Dia yang sudah lebih 16 tahun berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menyeru rakyat negeri ini yang berusia 18 tahun ke atas untuk keluar mengundi.
“Walaupun keadaan kesihatan tidak mengizinkan, saya tetap kuatkan semangat untuk mengundi kerana saya tahu setiap undi itu amat berharga. Jadi, bukan alasan bagi mereka yang sihat tubuh badan untuk tidak melakukan perkara sama,” katanya yang masih dalam tempoh cuti sakit. -UTUSAN










