HERAT: Sekurang-kurangnya 76 termasuk 17 kanak-kanak maut selepas sebuah bas yang membawa pelarian Afghanistan dari Iran terlibat dalam kemalangan jalan raya di barat negara itu.
Bas, yang dalam perjalanan ke Kabul, terbakar selepas bertembung dengan sebuah lori dan motosikal pada malam Selasa, di wilayah Herat, menurut Pengarah Maklumat dan Kebudayaan Taliban, Ahmadullah Mottaqi.
“Semua penumpang bas maut, bersama dua mangsa daripada kenderaan lain,” katanya.
Insiden berlaku ketika Iran meningkatkan pengusiran migran Afghanistan tanpa dokumen, yang melarikan diri daripada konflik berterusan di tanah air mereka.
Jurucakap Gabenor Herat, Mohammad Yousuf Saeedi berkata, semua penumpang adalah pelarian yang menaiki kenderaan itu dari Islam Qala, bandar berhampiran sempadan Afghanistan-Iran.
Polis Herat berkata, kemalangan itu berlaku akibat memandu melebihi had kelajuan dan kecuaian pemandu bas, lapor AFP.
Kemalangan jalan raya adalah perkara biasa di Afghanistan, di mana infrastrukturnya banyak rosak akibat konflik berpanjangan dan peraturan tidak dikuatkuasakan dengan tegas.
Sejak 1970-an, berjuta-juta rakyat Afghanistan melarikan diri ke Iran dan Pakistan, dengan gelombang besar berlaku ketika pencerobohan Soviet pada 1979 dan selepas Taliban kembali berkuasa pada 2021.
Keadaan itu menyumbang kepada peningkatan sentimen anti-Afghan di Iran, dengan pelarian berdepan diskriminasi sistematik.- BBC










