27 warga asing ditahan dalam serbuan di pusat hiburan

27 warga asing ditahan dalam serbuan di pusat hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 27 warga asing ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Kuala Lumpur  dalam serbuan ke atas sebuah pusat hiburan warga Myanmar di Lebuh Pudu awal pagi ini, dipercayai menawarkan gadis pelayan (GRO).

Serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu menerusi Ops Gegar melibatkan 15 pegawai dan anggota.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 32 individu diperiksa dan 27 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki dan 12 wanita warga Myanmar, tiga lelaki dan seorang wanita warga Nepal, serta seorang lelaki warga Bangladesh.

“Premis turut dilengkapi dengan ciri keselamatan lengkap, selain memiliki tiga lapis pintu.

“Pasukan serbuan terpaksa menempuh tiga lapis pintu keselamatan sebelum berjaya menembusi premis tersebut.

“Ketika pintu dibuka, keadaan premis kelihatan kosong tetapi hasil pemeriksaan lanjut, kami berjaya menemukan pintu rahsia ke ruang utama hiburan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, khidmat gadis GRO itu ditawarkan dengan harga antara RM80 hingga RM150 bergantung kepada jenis `kalung’ yang dipilih pelanggan.

“Tip ini menjadi isyarat kepada GRO untuk melayani pelanggan tertentu mengikut bayaran yang telah dipersetujui.

“Selain itu, maklumat awal juga menunjukkan terdapat tawaran khidmat seks di luar premis dengan harga yang dibincangkan secara peribadi antara pelanggan dan GRO,” katanya.

Wan Mohammed Saupee berkata, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c), dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Sementara itu, satu saman ke atas saksi (Borang IMM.29) turut dikeluarkan sepanjang tempoh operasi.

“Kita akan terus mempergiatkan serbuan ke atas premis hiburan yang menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan menyalahgunakan pas lawatan sosial,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN