KUALA SELANGOR: Kehilangan seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak 22 Jun lalu terungkai selepas mayatnya ditemukan dalam parit kawasan kebun sawit di Kampung Kuantan di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajuddin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 4.26 petang dan menemui mayat mangsa sudah reput dan berada dalam parit dalam keadaan telentang serta berpakaian lengkap.
“Polis turut menjumpai barangan miliknya dan pakaian sepadan dengan deskripsi Orang Hilang (OH) yang dilaporkan waris.
“Turut ditemukan, motosikal jenis Yamaha Ego yang digunakan mangsa ketika keluar dari rumah sebelum dilaporkan hilang,” katanya kepada pemberita, malam tadi.
Tambah Azaharudin, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang bagi bedah siasat.
“Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tampil menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau balai polis berdekatan,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Azaharudin meminta kerjasama orang ramai mengesan seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di sekitar daerah ini.
Lelaki dikenali sebagai Mohd. Rosli Mansor, 70, itu beralamat terakhir di Taman Seri Kuantan di sini, dan waktu kehilangannya kira-kira pukul 5.30 petang, 22 Jun lalu. – UTUSAN