SHAH ALAM: Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) memperkenalkan Program Transformasi Kemenjadian Pelajar Kokurikulum (PTKPK) bagi memenuhi keperluan industri dengan latihan dan pensijilan profesional.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, program tersebut merupakan usaha memperkukuh pembangunan mahasiswa secara holistik dalam memenuhi keperluan semasa industri.
Menurutnya, ia merupakan kesinambungan daripada inisiatif Transformasi Kemenjadian Kepimpinan Pelajar Persijilan Kompetensi Profesional Industri, dengan pelaburan sebanyak RM7.5 juta dalam ‘Certified System Analyst on Artificial lntelligence(AI)’.
“Program baharu itu diinspirasikan oleh visi strategik saya sendiri untuk memperkasakan pelajar kokurikulum, khususnya Komander Kesatria, agar lebih bersedia menghadapi cabaran industri masa hadapan.
“Pelaksanaan program itu dipimpin oleh Timbalan Naib Canselor HEP, Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi, yang komited dalam memperkasakan potensi pelajar melalui kerjasama erat dengan industri,” katanya pada majlis pelancarannya, semalam.
Shahrin berkata,inisiatif tersebut seiring dengan Model Pemerkasaan Mahasiswa UiTM (MPMU) yang bertujuan melahirkan graduan mampan, berkemahiran tinggi, serta holistik dalam era teknologi kecerdasan buatan (Al) yang pesat berkembang.
“Antara komponen utama inisiatif tersebut ialah program Amazon Web Services (AWS) re/Start iaitu program pembangunan kemahiran ‘cloud computing’melalui pembelajaran praktikal, simulasi industri, serta bimbingan kerjaya termasuk persediaan penulisan resume dan temu duga.
“Peserta juga akan menduduki peperiksaan ‘AWS Certified Cloud Practitioner’ yang diiktiraf secara global.Program ini menyasarkan penyertaan seramai 6,000 pelajar tahun akhir dalam tempoh tiga tahun, tertakluk kepada dana dan penajaan yang disediakan oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera,”ujarnya.
Beliau menambah, program itu juga dilaksanakan melalui kolaborasi strategik dengan World Education Placement Services Sdn. Bhd. (WEPS) dan IEG Campus, dengan peruntukan RM5,000 bagi setiap peserta, menjadikan keseluruhan program bernilai RM30 juta. – UTUSAN