NEW DELHI: Sekurang-kurangnya tujuh pelajar maut, manakala 26 lagi cedera selepas sebahagian bumbung dan dinding sebuah sekolah kerajaan di barat India runtuh, hari ini.
Kejadian berlaku di sebuah bangunan satu tingkat di daerah Jhalawar, kira-kira 322 kilometer dari ibu negeri Jaipur, ketika terdapat sekitar 60 pelajar, guru dan kakitangan berada di dalam bangunan tersebut.
“Tujuh pelajar terkorban setakat ini dan 26 lagi cedera,” kata pegawai polis di negeri Rajasthan, Nand Kishore kepada AFP.
Kishore memaklumkan, struktur bangunan itu runtuh ketika pelajar sedang mengikuti kelas awal pagi Jumaat.
Penduduk kampung berhampiran segera bergegas ke lokasi dan menyelamatkan ramai mangsa cedera sebelum dibawa ke pusat perubatan terdekat.
Perdana Menteri India, Narendra Modi, menzahirkan dukacita terhadap insiden tragis itu.
“Ingatan saya bersama pelajar yang terkesan dan keluarga mereka dalam saat sukar ini.
“Saya mendoakan agar semua mangsa cedera segera sembuh. Pihak berkuasa sedang menyediakan segala bentuk bantuan untuk mereka terlibat,” kata dalam kenyataan dimuat naik di platform X.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Negeri Rajasthan, Madan Dilawar, mengumumkan siasatan peringkat tinggi akan dijalankan berhubung kejadian.
“Satu insiden yang sangat malang berlaku. Saya mengarahkan siasatan peringkat tinggi dijalankan hari ini bagi mengetahui punca kejadian,” katanya.
Sekolah kerajaan di India berdepan kekurangan dana yang serius, dengan pelajar mengadu ketiadaan guru, keadaan bangunan yang naif dan kekurangan kemudahan asas seperti air minuman bersih atau tandas.- AFP










